Apabila saya membaca laporan bahawa seorang ketua bahagian parti politik telah mencabar supaya Majlis Peguam Malaysia didaftarkan sebagai sebuah parti politik, saya tertawa. Terbahak-bahak sehinggakan saya hampir jatuh dari kerusi yang sedang saya duduki.

Kenyataan tersebut begitu “kurang cerdik” sehinggakan saya mempersoalkan samada ahli politik tersebut benar-benar menggunakan otaknya sebelum membuat kenyataan sebegitu. Sudah terang lagi bersuluh bahawa ahli politik tersebut bercakap sebelum berfikir, kerana itulah dia boleh memperbodohkan dirinya sebegitu rupa.

Sekiranya ahli politik tersebut membuat sedikit kajian ataupun melayari laman web Wikipedia, sudah tentu dia akan sedar bahawa Majlis Peguam atau lebih tepat lagi Badan Peguam Malaysia sebenarnya merupakan sebuah badan yang ditubuhkan oleh Akta Profession Undang-Undang 1976. Badan Peguam Malaysia bukanlah sebuah pertubuhan bukan kerajaan mahupun parti politik dibawah Pendaftar Pertubuhan. Oleh itu, tidak timbul kemungkinan untuk Badan Peguam Malaysia didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan politik.

Ahli politik tersebut juga tidak tahu membezakan di antara Badan Peguam dan Majlis Peguam. Badan Peguam adalah badan yang dianggotai oleh semua peguambela dan peguamcara yang mengamal undang-undang, manakala Majlis Peguam, atau dalam bahasa Inggeris, Bar Council, merupakan jawatankuasa yang ditugaskan untuk mengendali segala urusan dan perlaksanaan fungsi Badan Peguam. Semua ini boleh didapati di dalam laman web Badan Peguam Malaysia dan juga boleh dicari di dalam Wikipedia.

Oleh itu, cabaran yang dibuat oleh ahli politik tersebut sepatutnya ditujukan kepada Badan Peguam Malaysia, dan bukannya Majlis Peguam. Lebih-lebih lagi apabila resolusi untuk mendesak perletakkan jawatan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara itu diputuskan oleh Badan Peguam Malaysia di dalam sebuah mesyuarat luar biasa yang diadakan pada 15 Mei 2009 dan bukannya Majlis Peguam.

Ahli politik tersebut bukanlah ahli politik yang pertama membuat cabaran sebegitu. Sebelum ini, ada ahli politik lain yang membuat cabaran yang sama dan ada juga menteri yang menuduh Badan Peguam Malaysia dan Majlis Peguam “berkelakuan” seperti parti politik pembangkang.

Badan Peguam Malaysia, sejak dari dahulu adalah sebuah badan yang apolitical (dalam bahasa Inggeris), iaitu tidak cenderung atau tidak menyokong mana-mana parti atau ideologi politik. Tidak dinafikan bahawa ahli-ahli Badan Peguam Malaysia ada yang merupakan ahli parti politik, samada di dalam Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, tetapi secara kolektif, Badan Peguam adalah apolitical.

Sesetengah pihak, termasuklah ahli politik yang saya sebut di atas, telah mendakwa bahawa Badan Peguam adalah sebuah badan yang digunakan atau didalangi oleh parti politik tertentu. Hanya kerana pendirian Badan Peguam dalam beberapa isu selari dengan parti politik pembangkang dan bertentangan dengan parti pemerintah, Badan Peguam telah dituduh sebagai anti-kerajaan dan pro-pembangkang.

Mereka yang membuat dakwaan tersebut telah salah tafsir pendirian Badan Peguam. Tujuan dan fungsi Badan Peguam, seperti yang termaktub di dalam Akta Profession Undang-Undang 1976, adalah antara lain, untuk mendukung keadilan tanpa berbelah bagi dan melindungi dan membantu orang awam dalam semua perkara yang berkait dengan undang-undang.

Oleh itu, pendirian Badan Peguam di dalam isu-isu seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), berkaitan dengan hak dan kebebasan rakyat, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang adalah berpaksikan tanggungjawabnya yang telah termaktub di dalam Akta Profession Undang-Undang 1976.

Oleh itu, sekiranya pendirian Badan Peguam bercanggah dengan kerajaan dalam isu-isu tersebut, ini bermakna kerajaan samada telah membelakangi keadilan, tidak mendaulatkan undang-undang atau tidak meluhurkan Perlembagaan. Pendirian yang diambil oleh Badan Peguam adalah tindakbalas kepada apa yang dilakukan oleh kerajaan dalam isu-isu tersebut. Bukan kerana Badan Peguam menentang Barisan Nasional atau menyokong Pakatan Rakyat. Walaupun Badan Peguam akan menyentuh isu-isu politik, ia tidak berminat untuk berpolitik. Ia akan terus meneruskan tanggungjawabnya walau parti mana sekalipun yang memerintah.

Inilah masalah yang melanda sesetengah ahli politik. Mereka langsung tidak mahu mendengar apa yang cuba disampaikan oleh pihak yang mempunyai pendapat yang berbeza. Mereka dengan serta-merta melabelkan pendapat dan pendirian yang berbeza dengan mereka sebagai anti mereka dan pro musuh mereka. Untuk menaikkan nama mereka di dalam arena politik sebagai “jaguh” bangsa mereka, mereka akan membuat kenyataan-kenyataan seperti yang dibuat oleh ketua bahagian yang saya sebut di atas, walaupun kenyataan itu tidak berasas dan kadangkala bunyinya begitu bebal sekali. Malahan, ketua bahagian itu juga sempat juga menyelitkan unsur perkauman di dalam kenyataannya dengan mendakwa bahawa Badan Peguam/Majlis Peguam adalah sebuah anti-kerajaan kerana komposisi etniknya. Akan tetapi, dakwaan berbaur perkaumannya itu jelas meleset dan dia sekali lagi memperagakan “kecerdikannya” kepada semua.

Nasihat saya kepada ahli politik tersebut dan mana-mana ahli politik lain yang begitu gatal ingin membuka mulut mereka dan menjadi jaguh; gunakanlah Wikipedia.

Ada versi Bahasa Malaysia lagi!

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya...

6 replies on “Apabila ahli politik cabar Majlis Peguam…”

  1. gua meman x pandai undangundang, tapi apabila terbaca kenyataan ni memang gelihati. macamla baca majalah gilagila masa mudamuda dulu.
    dlm palimen pun parti pembangkang ni pun berhujah x gunakan akai, main hentam je….lepas tu sorak dan buat riuh ramai ramai, dibantah olih speaker keluar ramairamai……macamana nak majukan negara.
    gua mulanya sokong juga pembangkang ni, tapi bila dah jadi pr……….pas masuk pr. maleh rasanya………
    fitnah menjadijadi…….fatwa dikeluarkan sesuka hati…..
    kalau pas macam dulu, berjuang dlm satu parti – dasar parti spt asal, mungkin sokong kembali.

  2. This is to "safe guard" one's own interest.

    And these "suckers" liked being used………………!

    "As long as I get my monthly salary. Cukup lah….! Got "extra" pun boleh lah……….! Ambil juga……!!!!!"

    This is what I call "An Abuse of Law & Power…..!!!!!"

  3. Salam…

    Memang sejak akhir2 nie…dengan situasi yang begitu mencabar bagi semua YB dan MP, baru kita dapat tengok..mane yang guna otak…mane yang x berotak…setakat nak ngampu ketua…ngabihkan boras je…buat malu YB dan MP kat M'sia…

  4. Tepat, Syah.

    Dari rekod Majlis Peguam, Badan Peguam setakat ini terdiri dari kaum Melayu : 39%, kaum Cina : 37%, kaum India : 23% dan lain-lain kaum : 1%.

Comments are closed.