Saya terbaca petikan berita berkenaan dengan hukuman yang telah dijatuhkan ke atas seorang model yang ditangkap meminum Heineken di Black Forest Pub Kuantan pada pukul 1.20 pagi pada 12 Julai tahun lalu. Beliau telah dijatuhkan hukuman denda RM5000 dan disebat 6 kali.
Pelbagai reaksi telah timbul dari penjatuhan hukuman sebat terhadap beliau terutama dari Senator Sharizat Jalil dan Dr Lo’Lo Mohd Ghazali. Terdapat juga reaksi dari Naib Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang antara lain (daripada laporan media) menyelar kritikan dari Sharizat dan Dr Lo’Lo dan secara tersirat mengumpamakan kritikan tersebut sebagai suatu penghinaan kepada Islam dan institusi kehakiman Syariah di Malaysia. Musa Awang, Naib President PGSM telah dipetik oleh Malaysian Insider menyatakan bahawa kenyataan Sharizat dan Dr Lo’Lo merupakan suatu, “challenge and insult to the Kuantan Syariah Court”.
Saya dengan khusus merujuk kepada artikel oleh Naib Presiden PGSM di Berita Harian, Julai 22, 2009, dan juga kepada laporan di Malaysian Insider bertajuk, “Syariah lawyers association regrets Shahrizat’s statement on whipping of model”.
Fakta Kes
Dari laporan media fakta-fakta kes yang dapat dikumpulkan adalah seperti berikut:
Ketidaksetimpalan Hukuman
Mari kita kupaskan seksyen Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang terpakai:
Seksyen 136. Minuman yang memabukkan.
Sesiapa jua orang Islam dalam mana-mana kedai atau tempat awam, menjual, membeli atau meminum arak adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila sabit bolehlah dihukum denda tidak lebih daripada satu ratus ringgit atau penjara tidak lebih daripada lima belas hari.
Seksyen 4. Pindaan bagi seksyen 136.
Seksyen 136 Enakmen ibu adalah dipinda dengan menggantikan perkataan-perkataan “satu ratus ringgit atau penjara tidak lebih daripada lima belas hari” dengan perkataan-perkataan “lima ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya dan sebat tidak lebih daripada enam kali sebatan”.
(penekanan oleh saya)
Dari sekyen 136 yang dipinda, hukuman maksimum adalah RM5,000 dan/atau penjara 3 tahun dan sebat tidak lebih 6 kali sebatan.
Beliau telah dijatuhkan hukuman hampir maksimum iaitu sebanyak RM5000 dan 6 kali sebatan. Adalah hukuman ini setimpal bagi kesalahan pertama dan pengakuan bersalah?
Kritikan terhadap hukuman yang tidak setimpal yang telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Syariah tersebut tidak harus dilihat sebagai apa-apa penghinaan kepada Islam atau institusi Islam. Menyorok dibelakang tabir “ugama” apabila dikritik adalah tidak wajar. Mendukacitakan bahawa PGSM membuat kenyataan sedemikian apabila sepatutnya mereka menegakkan ketidakadilan dan kepincangan di dalam penghakiman Hakim tersebut. Kenapa bersifat defensive apabila terdapat kritikan terhadap penghakiman yang diberikan? Adakah Mahkamah Syariah tidak boleh dikritik langsung?
Apa yang jelas, Enakmen berkenaan dengan minuman keras ini adalah “interpretasi” menggubal undang-undang. Ianya bukanlah suatu covenant yang dinyatakan di dalam Al-Quran. Musa Awang telah sendiri mengakui yang berikut:
Hukuman dijatuhkan hakim adalah hukuman maksimum mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987, walaupun hukuman sebenarnya menurut pendapat fuqaha adalah lebih berat.
Ulama fekah sependapat mengenai hukuman bagi orang minum arak ialah disebat. Cuma, mereka berbeza pendapat jumlah sebatan. Ada yang mengatakan 80 sebatan, iaitu menurut pendapat Imam Malik, Abu Hanifah dan satu riwayat daripada Imam Ahmad.
Imam Syafie dan satu pendapat daripada Imam Ahmad pula mengatakan kadar hukumannya adalah 40 sebatan.
Punca perselisihan pendapat ini kerana sungguhpun dalam al-Quran jelas mengenai pengharaman arak tetapi tidak ada ketetapan kadar atau had hukuman yang boleh dikenakan kepada peminum arak.
Dari sini, 2 perkara adalah jelas:
Berdasarkan di atas, sekiranyapun wajib hukuman sebat dijatuhkan, mestikah ia sentiasa maksimum 6 kali sebatan lebih-lebih lagi pengarang seksyen tersebut dengan jelas menggunakan perkataan tidak lebih daripada 6 kali sebatan? Sekiranya wajib dikenakan sebatan maksima, sudah tentu dinyatakan, “dan sebat sebanyak 6 kali”?
Adalah juga jelas bahawa pengenaan hukuman sebat ini adalah tidak universal. Di Selangor umpamanya:
Section 151. Intoxicating liquor.
Whoever shall in any shop or other public place purchase or sell or consume any intoxicating liquor shall be punishable with a fine not exceeding twenty-five dollars, or, in the case of a second or subsequent offence, not exceeding fifty dollars:
Provided that it shall not be an offence for any person so to purchase or sell as agent for a principal who does not profess the Muslim religion.
Seksyen 5. Pindaan kepada seksyen 151.
Seksyen 151 Enakmen Ibu adalah dipinda dengan menggantikan perkataan-perkataan “twenty-five dollars, or in the case of a second offence or subsequent offence, not exceeding fifty dollars” dengan perkataan-perkataan “one thousand dollars or imprisonment for a term not exceeding six months or with both”.
(penekanan oleh saya)
Di Perak, negeri yang mempunyai mufti yang lantang suaranya ketika ini pula menyatakan:
Seksyen 59. Minuman yang memabukkan.
Sesiapa yang minum arak atau apa-apa minuman yang memabukkan adalah bersalah atas suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(penekanan oleh saya)
Berdasarkan pendirian berbeza antara satu negeri ke satu negeri berkenaan dengan isu sebatan ini, maka adalah boleh dirumuskan bahawa pengenaan sebatan ini bukanlah satu isu yang asas atau pokok yang wajib dikenakan. Jadi, adakah ianya sebegitu penting yang mana pengenaannya secara maksima perlu dijatuhkan terhadap wanita tersebut? Apa jawapan PGSM? Pahang lebih “Islam”-nya dari Selangor dan Perak?
Ketidakseimbangan hukuman di dalam Enakmen
Seterusnya, saya ingin mengupas lagi kesalah-kesalahan lain di bawah Enakmen di negeri Pahang dan membandingkan dengan kesalahan meminum arak.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005
Seksyen 128. Menganiayai isteri atau suami.
(1) Seseorang suami atau isteri yang dengan sengaja menganiaya isterinya atau suaminya atau menipu harta isterinya atau suaminya, mengikut mana-mana yang berkenaan, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
Seksyen 127. Meninggal langsung isteri.
Jika seseorang telah diperintahkan oleh Mahkamah supaya hidup bersama semula dengan isterinya dan dia bersengaja cuai atau tidak mematuhi perintah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
Seksyen 129. Tidak memberi keadilan yang sewajarnya kepada isteri.
Seseorang yang tidak memberi keadilan sewajarnya kepada isterinya mengikut Hukum Syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982
Seksyen 177. Suami memaksa, menyokong atau membiarkan isteri melacurkan diri.
Seorang suami yang memaksa, menyokong atau membiarkan isterinya melacurkan dirinya dengan tujuan untuk mendapat hasil dari pelacuran itu adalah melakukan satu kesalahan dan apabila sabit bolehlah dihukum dengan didenda tidak lebih daripada seribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya.
Seksyen 33. Pindaan bagi seksyen 177.
Seksyen 177 Enakmen ibu adalah dipinda dengan menggantikan perkataan-perkataan “seribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya” dengan perkataan-perkataan “empat ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya dan sebat tidak lebih daripada enam kali sebatan”.
(semua penekanan oleh saya)
Ini amatlah menghairankan dan memeranjatkan. Seorang yang menganaiya isteri atau meninggalkan isteri atau tidak adil terhadap isteri hukuman MAKSIMUM adalah denda RM1,000 dan/atau penjara tidak melebihi 6 bulan.
Yang lebih memeranjatkan adalah seorang yang MELACURKAN isterinya dan menerima HASIL dari pelacuran isterinya, jika sabit kesalahan hukuman MAKSIMUM adalah denda RM4,000 dan/atau penjara tidak lebih 2 tahun dan sebat 6 kali sebatan.
Sebagai peringatan, minum arak … denda RM5,000 dan/atau penjara tidak lebih 3 tahun dan sebat 6 kali sebatan?? Hairan bin ajaib!!
Kalau seorang itu melacurkan isteri, hukuman lagi ringan? Ketidakseimbangan ini tidak pula ditimbulkan oleh PGSM. Kesalahan di atas adalah kesalahan terhadap pihak ketiga (yang juga secara langsung akan melibatkan anak-anak) dan jika dibandingkan dengan kesalahan minum arak yang hanya melibatkan individu tersebut, seharusnya dihukum dengan lebih berat. Tidak dinafikan, penyalahgunaan alkohol mempunyai banyak implikasi terhadap masyarakat tetapi adakah implikasi negatif tersebut melebihi implikasi terhadap isteri yang didera dan ditinggalkan suami tanpa nafkah? Bukankah kegagalan memberikan nafkah boleh menyebabkan pelbagai masalah sosial lain lebih lagi bila melibatkan anak-anak yang terpaksa ditanggung oleh si isteri yang ditinggalkan? Adakah Islam lebih memberatkan isu arak daripada hal-ehwal isteri dan ibu-ibu tunggal? Tidak mungkin!
Tidakkah PGSM bersetuju bahawa kepincangan dan ketidakseimbangan ini lebih besar efeknya terhadap tanggapan umum kepada agama Islam dan harus diperbetulkan agar tidak membawa nama buruk kepada agama dan institusi kehakiman Islam di negara ini?
Komen PGSM berkenaan perkara ini adalah amat mendukacitakan. Mungkin ini disebabkan PGSM tidak seperti Badan Peguam Malaysia yang mempunyai tanggungjawab seperti seksyen 42 Akta Profesion Undang-Undang yang mana tanggungjawab utama adalah:
(a) to uphold the cause of justice without regard to its own interests or that of its members, uninfluenced by fear or favour;
Mungkin saya ini adalah seorang yang idealist tetapi daripada terus menyokong hukuman yang diberikan tersebut, tidakkah lebih baik sekiranya PGSM membuat kenyataan menegur pengenaan hukuman yang tidak setimpal tersebut? Tidakkah lebih baik selaku persatuan peguam yang bertindak sebagai NGO yang dilatih berkenaan dengan konsep keadilan dan saksama, PGSM sepatutnya bertindak membela nasib wanita ini, walaupun beliau mengaku salah?
PGSM, sila jawab.
Nota Akhir:
Sebelum mana-mana pedang diasah untuk membidas komen disini sebagai “anti-Islam”, baca dengan teliti terlebih dahulu. Kritikan disini adalah terhadap yang berikut:
Harap Maklum
Read this first: LB Terms of Use
Pingback: Twitted by meeshly