Peguam percuma

Majlis Peguam Malaysia merupakan satu-satunya badan bukan kerajaan di dunia yang memberikan khidmat guaman percuma kepada golongan masyarakat yang kurang berkemampuan tanpa mendapat sebarang tajaan atau sokongan kewangan daripada pihak kerajaan. Setiap peguamcara dan peguambela berdaftar dimestikan mencarum sejumlah wang sebanyak RM100 untuk Tabung Bantuan Guaman setiap tahun bagi membolehkan mereka memperbaharui Sijil Amal Tahunan.

Minggu Kesedaran Undang-Undang Kebangsaan merupakan salah satu aktiviti kepentingan awam Majlis Peguam yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Bantuan Guaman Majlis Peguam Malaysia. Pelancaran Minggu Kesedaran Undang-Undang Kebangsaan tahun ini akan dilancarkan di Sungai Petani, Kedah. Pada peringkat negeri pula, Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam (Kuala Lumpur) yang beroperasi di Wisma Kraftangan, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur merupakan salah satu Pusat Bantuan Guaman yang paling sibuk dengan pelbagai jenis perkhidmatan dan aktiviti kesedaran. Perkhidmatan guaman pada asalnya hanya tertumpu dalam memberikan nasihat guaman dan representasi guaman kepada mereka yang tidak berupaya untuk melantik peguam. Walau bagaimanapun, bidang khidmat Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam telah diperluaskan kepada kes-kes kepentingan awam seperti isu-isu peneroka dan representasi guaman dalam tangkapan beramai-ramai.

Walaupun terdapatnya perkhidmatan guaman disediakan oleh Majlis Peguam kepada mereka yang memerlukan, akan tetapi kebanyakan ahli masyarakat tidak menyedari akan kewujudannya. Meskipun ada golongan yang mempunyai pengetahuan bahawa terdapatnya perkhidmatan tersebut, ada di antara mereka tidak mengetahui tempat dan cara untuk mendapatkan bantuan tersebut.

Jawatankuasa Kebangsaan Bantuan Guaman Majlis Peguam menyedari akan hakikat ini, akan tetapi publisiti yang melebih-lebih tidak semestinya memanfaatkan semua ahli masyarakat yang memerlukan bantuan guaman tersebut. Ini adalah kerana setiap Pusat Bantuan Guaman di negeri-negeri yang berlainan berfungsi dengan bergantung kepada caruman RM100 daripada ahli-ahli Majlis Peguam. Dengan peruntukan kewangan yang terhad, Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam tidak berupaya untuk mengendalikan bilangan kes yang terlampau banyak. Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam tidak ingin memberikan harapan kosong kepada mereka yang datang ke pusat-pusat bantuan guaman mendaftarkan kes mereka tetapi tidak diperuntukkan peguam untuk mengendalikan kesnya.

Keadaan ini menjadi semakin serius apabila badan kehakiman Malaysia memperkenalkan sistem ‘fast track’ dan mengeluarkan pekeliling supaya penangguhan kes tidak akan diizinkan kecuali dalam keadaan terdesak dan/ atau berkecuali. Pegawai-pegawai kehakiman kini tidak membenarkan penangguhan kes meskipun dalam keadaan di mana tertuduh tidak diwakili oleh peguam dan seterusnya memberi arahan supaya tertuduh membela diri tanpa representasi sekiranya dia masih gagal mendapatkan perkhidmatan guaman di tarikh sebutan akan datang. Dalam keadaan sebegini, sekiranya Pusat Bantuan Guaman mendaftarkan kesemua kes tetapi gagal mendapatkan peguam untuk mewakili anakguam-anakguam tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh mahkamah, maka mereka terpaksa mengendalikan kes itu atas usaha dirinya tanpa representasi guaman. Sekiranya hal sedemikian berlaku, ia bagaikan satu janji kosong yang diberi oleh Pusat Bantuan Guaman dan seterusnya memudaratkan kepentingan anakguam tersebut kerana hak asasinya untuk mendapatkan representasi guaman telah dinafikan.

Oleh kerana ramainya orang yang memohon untuk bantuan guaman dan kekurangan peguam, Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam terpaksa menetapkan satu ujian kemampuan untuk menentusahkan mereka yang memang daripada golongan berpendapatan rendah sebelum kes mereka diterima supaya bilangan kes yang didaftarkan tidak melebihi keupayaan pusat bantuan guaman untuk memperuntukkan peguam kepada anakguam. Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam sering mengalami kesukaran dalam mendapatkan peguam sukarelawan untuk mengendalikan kes-kes yang didaftarkan. Hal ini kerana peguam-peguam sukarelawan yang mengendalikan kes-kes daripada Pusat Bantuan Guaman tidak dibayar sebarang yuran dan ada kalanya terpaksa membelanjakan wang dari saku dirinya untuk menampung kos pengangkutan.

Sekiranya diberikan peruntukan kewangan yang lebih banyak, sememangnya Majlis Peguam amat berharap dapat membantu lebih ramai orang yang tidak berupaya untuk mendapatkan representasi guaman. Akan tetapi, usaha-usaha Majlis Peguam untuk mendapatkan tajaan kewangan daripada pihak kerajaan dan usaha-usaha lain seperti yuran pemfailan bagi kes-kes Pusat Bantuan Guaman dikecualikan masih belum mendapat apa-apa respon positif daripada pihak-pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.

Ramai yang sering tertanya-tanya adakah bantuan guaman itu hanya satu isu amal/ kebajikan semata-mata atau ia adalah hak asasi manusia. Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak seseorang itu untuk diberikan represenatasi guaman atas pilihan dirinya. Oleh itu, bantuan guaman kepada mereka yang tidak berupaya untuk melantik peguam sendiri adalah satu hak asasi manusia yang seharusnya menjadi tanggungjawab bersama pihak kerajaan dan bukan tanggungjawab Majlis Peguam semata-mata.

Apabila Majlis Peguam kekurangan peruntukan kewangan dan peguam sukarelawan, maka ia tidak dapat menampung bilangan kes-kes yang semakin meningkat kian hari dan terpaksa menolak permohonan mereka yang datang untuk mendapatkan bantuan ataupun gagal memperuntukkan peguam baginya meskipun kesnya telah lama didaftarkan. Seterusnya ahli masyarakat terutamanya mereka yang kurang berupaya dan/ atau mereka yang berpendapatan rendah masih menghadapi kesukaran untuk mendapatkan akses kepada keadilan meskipun terdapatnya Perkhidmatan Bantuan Guaman. Keadaan sebegini menjadikan bantuan guaman itu seolah-olah sekadar satu peragaan kosmetik yang tidak memanfaatkan golongan masyarakat yang kurang berupaya.

Apakah erti bantuan guaman dan di manakah bantuan guaman sekiranya badan yang memperuntukkan khidmat tersebut dengan sendirinya tidak mampu mengendalikan permintaan yang kian meningkat? Apakah ini semata-mata tanggungjawab sosial dan/ atau statutori Majlis Peguam sebagai satu badan statutori yang ditubuhkan di bawah Legal Profession Act? Sudah semestinya ia bukan hanya merupakan tanggungjawab Majlis Peguam semata-mata. Bantuan Guaman itu merupakan satu hak asasi manusia. Oleh itu, kerajaan negeri dan kerajaan pusat harus bersama-sama memikul tanggungjawab untuk memelihara hak asasi manusia terhadap representasi guaman yang dijamin oleh peruntukan Perlembagaan Persekutuan melalui penajaan kewangan untuk menyokong usaha Majlis Peguam dalam memastikan setiap orang diberi akses kepada keadilan terutamanya apabila Biro Bantuan Guaman yang dikendalikan oleh pihak kerajaan tidak memberikan bantuan guaman kepada mereka yang terlibat dalam kes jenayah. Kita harus sentiasa mengingati prinsip perundangan bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikannya bersalah. Oleh itu, representasi guaman harus dijamin supaya tertuduh didakwa dalam satu prosiding yang adil dan sekiranya dia tidak mampu untuk melantik peguam, maka bantuan guaman mesti diberikan kepadanya supaya akses kepada keadilan terjamin.

Atas matlamat untuk memastikan setiap insan di Negara ini diberi akses kepada keadilan, maka Majlis Peguam menganjurkan Minggu Kesedaran Undang-Undang Kebangsaan ini yang diadakan secara serentak di setiap negeri di Semenanjung Malaysia bermula daripada 23hb Oktober 2009 sehingga 31hb Oktober 2009. Pelbagai aktiviti-aktiviti diadakan oleh Pusat-pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam di negeri-negeri yang berlainan. Tujuan penganjuran Minggu Kesedaran ini adalah untuk membawa kesedaran kepada semua rakyat Malaysia akan erti, matlamat dan tujuan bantuan guaman. Majlis Peguam turut berharap bahawa dengan anjuran Minggu Kesedaran ini, ia dapat menghantar satu mesej kepada pihak kerajaan bahawa betapa pentingnya sokongan dan bantuan mereka dalam menyokong usaha Majlis Peguam memperlihara hak asasi manusia terhadap representasi guaman. Ia merupakan satu usaha yang masih berterusan sehingga hari ini supaya tajaan atau bantuan kewangan daripada pihak kerajaan dapat diperolehi supaya sistem bantuan guaman di Negara kita ini dapat diperbaiki. Semoga suara kita ini didengari oleh pihak-pihak yang berkenaan dan dibalas dengan rangkap yang menyenangkan.


Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam (Kuala Lumpur) akan melancarkan penggunaan premis Pusat yang baru di Tingkat 9 Wisma Kraftangan pada 27hb Oktober 2009, yang akan dirasmikan oleh Yang Amat Arif Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya. Diharap kesudian Yang Amat Arif untuk menghadiri upacara ini merupakan satu tanda baik dan titik permulaan kerjasama di antara badan kehakiman dan Majlis Peguam dalam memperuntukkan satu sistem bantuan guaman yang lebih baik kepada ahli masyarakat di Negara ini. Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam (Kuala Lumpur) akan mengadakan satu fiesta kesedaran undang-undang di Pasar Budaya pada 31hb Oktober 2009 sebagai acara penutup tirai Minggu Kesedaran Undang-Undang Kebangsaan sambutan peringkat Wilayah Persekutuan. Warga-warga Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam (Kuala Lumpur) mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk mengikuti dan menyertai aktiviti-aktiviti yang dijadualkan pada hari tersebut dan bagi mereka yang mempunyai pertanyaan isu perundangan, Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam (Kuala Lumpur) turut menyediakan satu kaunter khidmat nasihat di fiesta tersebut.

Datanglah beramai-ramai bersama warga-warga Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam (Kuala Lumpur) untuk menjayakan fiesta ini dengan harapan satu mesej dapat dibawa kepada perhatian pihak kerajaan bahawa sudah tiba masanya untuk kerajaan menitikberatkan isu akses kepada keadilan dan peruntukan bantuan guaman. Bilangan membuktikan kekuatan. Bersama-sama kita berusaha untuk memelihara hak asasi manusia.

Tags: , , , , , , , , ,

Posts by

Posted on 25 October 2009. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

60 Responses to Peguam percuma