Janji Bangsaku

Bangsaku
Janji yang kita meterai lama dahulu
Di kala kita bertungkus membina sebuah negara
Bahu ke bahu
Bersama sebagai saudara
Lupa kita pada janji kita ini?

Bebas daripada rantai perhambaan
Bisa menempa cita-cita
Bisa menentu hala dan tuju
Bisa mencapai impian
Satu bangsa Merdeka

Ah, jauh sungguh dikotakan
Janji bangsaku ini
Tidakkah kita punya impian untuk merai kepelbagaian?
Namun perbezaan dijadikan alasan
Membahagi diri mengikut garis-garis pemisahan
Terpesong dengan tanggapan perbedaan

Bukankah kita sudah diam bersama sekian lama?
Bukankah kita sudah tempuhi begitu banyak dugaan?
Bukankah kita sudah punya suatu identiti tersendiri?
Namun mengapa kita begitu sukar untuk menerima
Bahawasanya kita semua adalah benih-benih pertiwi

Kita pernah berikrar untuk bersatu dan berpadu
Membina sebuah tanahair Merdeka
Di mana minda tidak dikekang prasangka
Dan ilmu itu tidak punya harga
Di mana kebenaran lahir dari perigi kata-kata
Dan tindakan berpandu pada kompas saksama
Di mana buah kejayaan dapat dirasai
Bukan kerana nama atau harta benda
Bukan kerana warna atau agama
Tetapi atas usaha gigih dan daya upaya

Janji bangsa ini
Yang masih belum dikota
Oleh mereka yang berjanji
Bangsaku, bangsa Malaysia

Tags: , , , , , , , , ,


Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya hanyalah seorang warga Malaysia yang mempunyai terlalu banyak pendapat. Dia adalah seorang yang patriotik, walaupun bukan dengan cara biasa seperti mengibar bendera. Dia percaya Malaysia mempunyai potensi yang hanya dapat direalisasi sekiranya rakyatnya belajar bersatu-padu dan bukannya berpecah-belah. Ikutilah Syah di Refleksi Minda.

Posted on 30 October 2009. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

4 Responses to Janji Bangsaku

  1. Pingback: uberVU - social comments