Face of Malaysia by Ng Wei Chean

The LB Merdekakan Malaysia Run reaches its 6th and final leg after a one day gap. Izmil continues the run in our national language no less, with a consideration on the need to cultivate reason and Enlightenment over blind compliance and easily swayed naivete, especially in our youth.

Izmil Amri adalah seorang manusia tak banyak cakap yang sentiasa memerhati. Dia menulis tentang apa sahaja dari mata seorang agitator-politik-rentas-parti supaya orang berfikir dan cerah. Masih belajar untuk jadi manusia, dia punya hobi memasak dan mendiam di Facebook kerana tidak punya ramai kawan. Teringin mahu jadi seekor panda dan meninggalkan semua ini untuk masuk Hogwarts. Juga sedang berusaha mahu jadi pengajar ilmu perlembagaan.

Face of Malaysia by Ng Wei Chean
Face of Malaysia by Ng Wei Chean


Prolog

Seorang anak kecil duduk di bangku kayu. Di tangan kirinya ada ais-krim Malaysia perisa Milo. Angin petang tiup lembut dari celah-celah rambutnya yang halus. Matanya bundar melihat sepasang kekasih sedang bercumbu di bawah pokok. Di kanannya, ada seorang tua. Matanya kelabu, hampir buta. Senyumnya ikhlas walau tak punya gigi sempurna.

“Makan, mesti guna tangan kanan,” pesan si tua.

“Makan ais krim Malaysia pun mesti guna tangan kanan?” anak kecil toleh, penuh tanya.

“Kenapa tidak? Adab budaya itu kekayaan kita. Jangan hanya kerana ais-krim Malaysia perisa milo, maka adab perlu diketepi.”

Anak kecil renung pasangan bercumbu. Kemudian pandang semula ke arah si tua.

“Yang itu bagaimana?” katanya menjuih bibir ke arah pasangan bahagia bawah pokok. Gelak tawa si gadis memperlihatkan bahagia tahap tertinggi. Si lelaki punya humor menawan. Malam nanti barangkali akan dapat habuan.

“Mereka miskin. Tak macam kamu. Kamu kaya fitrah. Mereka gadai adab untuk seronok seketika.” Senyumnya tak pernah putus. Anak kecil membalas senyum. Angin menderu lembut. Ada beg plastik terbang lintas. Awan samar-samar. Langit biru. Anak kecil pejam mata, hirup udara dingin. Kembang dadanya, sedikit bangga dipuji datuknya.

Aku kaya, tak miskin adab macam mereka; ulang anak kecil dalam hati. Ais-krim perasa Milo terbiar cair.

Dan angin pun terus menderu lembut.

Merdeheka Malaya dan Federesyen Malaysia

Malam merdeka itu hari, aku duduk-duduk dengan kawan-kawan di Kerinchi. Sidang meja segiempat, merencana strategi untuk mengangkat seorang teman ke kerusi ketua sebuah organisasi anak muda. Ada yang rencana strategi media, strategi perang saraf, strategi manifesto bergagasan, strategi merayu pencalonan dan macam-macam strategi peperangan lain. Sebagai orang baru, aku hampir lemas. Namun aku gagahkan juga. Demi anak cucu. Sungguhpun aku perlu kahwin dulu. Tapi itu cerita lain.

Persoalan anak cucu itu, persoalan besar. Kerisauannya juga bukan kecil. Kerana anak cucu negara ini nampak sedikit mereng dua tiga bulan ini; menjelang usia negara 47 tahun. Kalau Malaysia itu seorang tua 47 tahun usia, pasti luluh jiwanya melihat telatah anak bangsa. Kalau mahu dikira sejak tarikh Merdeheka; maka pasti dia libas dan terajang cucu-cicitnya yang entah apa-apa.

Namun soalan tentang masa depan dan generasi pewaris hanya boleh dirungkai dengan memandang kebelakang dan ke bawah. Ke belakang itu melihat sejarah, dan ke bawah itu melihat dasar serta akar bernegara.

Barangkali orang-orang tua kita telah buat silap besar memanjakan anak-anak mereka. Barangkali orang tua-tua kepada orang-orang tua kita lupa meninggalkan pesan yang jelas dan nyata tentang tugas besar mengisi kemerdekaan dan adab bernegara. Barangkali, anak muda lupa, satu hari nanti mereka bakal tua, dan beranak-pinak juga. Maka ada baiknya kita duduk sebentar dan berfikir tentang masa depan dan masa lalu. Di remang-remang petang menuju Hari Malaysia, berteman secawan kopi, biskut marie dan kawan-kawan yang kita suka; kita bicara soal masa depan bangsa. Tentang kerisauan dan ketakutan. Juga tentang harapan dan keyakinan.

Sejarah telah membuktikan, perubahan dan pembugaran hadir dalam ombak-ombak yang bersukat. Selang beberapa ketika, akan mendebur satu dua ombak besar yang membawa kesedaran dan kecerahan tentang realiti. Kalau dilihat dari sudut politik, ombak paling besar hadir dalam tahun 1969, 1999, dan 2008. Jika mahu dilihat dari sudut kebangkitan anak mahasiswa pula, barangkali tahun 67-68 itu sangat signifikan; hatta sejarahnya haram dikisahkan di universiti pasca AUKU. Juga tidak lupa zaman mahasiswa Reformasi dan yang baru-baru ini menggegar negara sehingga timbalan menteri terpaksa bersilat ikut rentak serupa.

Sungguh begitu, ombak-ombak kesedaran tentang rupabangsa dan budaya bernegara itu sentiasa terpinggir dan dilupakan. Mungkin hantu 1969 masih merasuk minda dan mendiam di setiap anak mata masyarakat hingga sanggup menghalau pulang jiran tetangga balik ke negara mereka. Maka setiap kali melihat warna kulit dan bahasa, tuntas terbit prejudis menggila yang sepatutnya sudah lama kita tinggalkan. Aku salahkan orang tua-tua yang menggarap pemikiran anak muda mereka supaya sentiasa berjaga-jaga kononnya, takut kepala dipenggal Cina, dan masjid diceroboh India. Ini semua hasil kedangkalan dan penafian tentang masa depan yang baru. Minda Melayu lama yang terlalu membenam kukunya pada tanah milik tuhan, hingga lupa dirinya menumpang juga.

Namun ego Melayu itu tak terbanding dengan kerasnya permata. Maka lahir grup-grup tertentu merelakan diri jatuh ke lubuk gelap pembodohan. Aku kasihankan mereka ini. Pada dahi mereka ada janji-janji keruntuhan bangsa. Sudahlah bodoh, sombong pula.

Pada aku, anak muda wajib junjung titah Bung Karno supaya jangan sekali-kali melupakan sejarah. Terpaksa cilok Bung Karno kerana tidak ketemu mana-mana tokoh Malaysia yang berpesan sedemikian rupa. Sengaja guna kata Bung Karno kerana amarah beliau tatkala penubuhan Malaysia itu sangat signifikan. Anak muda patut melihat rapat-rapat rakaman perisytiharan Merdeka dan soalkan kenapa perlu orang putih topi tinggi itu semua duduk di atas pentas sama taraf dengan baginda-baginda raja. Soalkan juga kenapa selepas kita lepas bebas, apa perlu berpaut kemas pada tinggalan-tinggalan artifak orang putih. Tanyakan juga, kenapa “Darurat” yang disebut-sebut dan bukan “Perang Komunis.” Malah perlu lebih berani untuk membaca dan menyoal apa dia itu komunisme dan sosialisme dan kapitalisme dan kenapa itu membawa kepada berperang. Baru demikian maka anak muda akan faham betapa sejarah itu perlu difaham dan diselongkar, supaya Merdeheka Malaya tidak dipersia pasca setengah abad usianya.

Petang 31 Ogos, aku menuju tayangan tertutup dokumentari penuh kontroversi “10 Tahun Sebelum Merdeka.” Sungguhpun tidaklah tertutup sangat sebenarnya kerana auditorium di bangunan Dewan Perhimpunan Cina di Jalan Maharajalela itu dilitupi kaca. Tayangan “tertutup” itu dihadiri ramai anak muda yang dahagakan ilmu. Selesai filem pertama, kami dihidang filem dokumentari “Revolusi 48.” Aku perhati satu demi satu pasang mata anak muda di sana. Hampir semua punya mata berkaca-kaca. Hatta yang paling macho pun turut menitiskan air mata. *Ehem*

Nyatanya generasi muda hari ini bukanlah semuanya bobrok dan berantak belaka. Ada di antaranya yang punya jiwa besar dan punya romantisme meluap dengan tugas dan tanggungjawab untuk mengisi kemerdekaan dengan semangat dan idealisme. Cumanya mohon janganlah dihalang kami ini dengan kebijakan yang entah apa-apa. Tugas berat untuk mengisi merdeheka tidak mungkin dapat dibuat jika tidak sekali-sekala menderhaka. Harap jangan ditangkap dan dilokap kami ini kala sesekali menderhaka itu. Kalau nak diletak harapan pada yang tukang angguk dari kalangan mahasiswa songkok tinggi dan mahasiswi berkurung merah jambu, malap sedikit lah harapan membina bangsa itu. Bukanlah padam, cuma malap.

Kerana generasi muda, bak kata Hisham Rais; tidak boleh dibonsaikan mindanya. Mana mungkin akan ada pembaharuan, pembugaran dan perubahan kalau acuan fikir anak muda itu kekal sama dari zaman pra 50’an sampai sekarang waktu dunia sudah merobohkan tembok-tembok fizikalnya sekali dengan sempadan-sempadan mentalnya. Tiba-tiba dalam keadaan itu masih lagi ada satu grup yang sibuk mahu pijak kepala lembu dan ada pengetua yang suruh anak muridnya pulang ke China. Ini tidak kena. Ini minda kelas ketiga. Dangkal dan cetek pemikiran grup ini tidak patut dibuat contoh tauladan. Maka kita mesti minta simpang dari mengikut jejak pemikiran yang tidak cerah-cerah ini.

Generasi anak muda hari ini, sebenarnya generasi yang gandrung pencerahan. Lantas mereka banyak bertanya dan meneroka. Dari pertanyaan dan penerokaan itu mereka ketemu pelbagai jawapan yang tidak pernah diceritakan buku-buku rasmi, lalu berontaklah anak muda. Berontak-berontak kami ini juga jangan dikekang. Lagi dikekang, lagi dihalang, lagi bangkit semangat.

Meminjam kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam sessi debat yang sungguh popular membincangkan keterlibatan politik kepartaian mahasiswa, “Mahasiswa cerdik Tan Sri, mereka tahu bagaimana ia dilakukan.” Justeru kebijakkan mahasiswa dan anak muda itu jangan cuba-cuba dibonsai dan diacuanpaksakan. Kerana mahasiswa dan anak muda itu bukan sahaja mampu untuk menjadi pemimpin hari esok, malah boleh sebenarnya untuk jadi pemimpin hari ini. Hanya yang tua-tua tak sedar diri sahaja akan mahu nafikan kebolehan anak muda ini.

Jika satu hari nanti kami ini duduk di kerusi-kerusi Parlimen dan mengusul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, maka janganlah melatah. Perlembagaan itu bukanlah saqtu makhluk yang rela dirinya dibiar tua dan tidak relevan mengikut zaman. Perlembagaan itu pre-amble-nya juga tidak ada. Dasar pembentukan negara itu sudah 53 tahun tua. Pindaan picisan padanya tidak menggambarkan perubahan dan gelombang pembugaran serta pencerahan yang sedang melanda minda masyarakat Malaysia. Roh dan jasad Perlembagaan itu memerlukan nafas baru yang setanding dengan perubahan zaman dan semangatnya. Jangan pula nanti ada kumpulan graduan otak singkat mahu kata Perlembagaan itu tidak akan pernah boleh dipinda. Jangan buat aku ketawa geli buah pinggang.

Demi anak cucu, orang Malaysia perlu punya kesedaran jelas tentang kesepakatan dan adab bernegara. Mana mungkin setelah 53 tahun Merdeka, rakyatnya akan kekal pada takat bolehfikir yang serupa seperti zaman pra Merdeka. Minda anak muda perlu cerah agar punya kekuatan untuk mencerahkan minda orang lain. Pencerahan itu lebih jauh melangkaui semangat inkuiri zaman Renaissance. Semangat berani untuk berfikir sendiri harus memacu ronda sepuluh tahun terakhir menuju visi nyata sepuluh tahun lagi.

Kau tahu, dulu masa aku kecik-kecik, aku selalu ikut lomba lukis poster Wawasan 2020. Dalam poster aku, selalunya akan ada keretapi elektrik merentas langit, kereta-kereta Proton yang boleh terbang, serta langit yang biru dengan dihias pelangi. Di dalam negara poster aku itu akan ada wajah-wajah anak bangsa yang berlainan warna dan gaya. Di keliling mereka ada bangunan-bangunan yang nampak macam UFO. Negara poster aku tidak ada masalah perkauman. Tiada kecelaruan faham politik. Tiada ganas jenayah mengebom atau membakar mangsa bunuh. Negara poster aku aman tenteram. Aku lukis dengan krayon dan cat air. Banyak rona, hampir nampak macam timbunan ais kacang Swatow Lane Pulau Pinang yang tumpah atas kanvas putih.

Maka apa salahnya kita raikan kepelbagaian dan cuba mula membaca tentang jiran-jiran kita yang punya faham agama serta budaya berbeza. Kalau aku ini boleh bersembang dengan rakan sekerja tentang Ramayana, makan nasi dalam mangkuk guna penyepit dan syarah kepada teman-teman tentang tafsir Jalalain, apa masalahnya sehingga jenuh benar untuk semua orang hidup aman tanpa prejudis dangkal hasil mainan orang-orang politik?

Matanglah rakyat Malaysia, negaramu sudah 47 tahun usia. Keluarlah dari gelap pembodohan dan tanyakan khabar jiranmu yang India, Cina, Melayu, Bajau, Murut, Kadazan, Iban, Kenyah, Penan, Kelabit, Bengali, Punjabi, Acheh, Myanmar, Bangladesh dan semua sekali yang berpayung bawah mentari pagi 16 September; menjulang langit Malaysia. Negara bangsa yang punya kesedaran dan kefahaman, dan tidak lagi rela dibodohkan.

Demi anak cucu, dan masa hadapan.

Epilog

Anak kecil jalan sendiri. Ais-krim Malaysia perisa Milo sudah habis cair. Pasangan cumbu bawah pokok sudah blah. Si tua mata kelabu menyusul dari belakang, tongkat di tangan. Dia sudah tua. Dia melihat anak kecil itu dengan pandangan penuh makna. Pandangan penuh harap agar membesar dan jadi manusia berguna.

“Jalan sorang-sorang, pandang kanan kiri. Pandang tempat mahu pergi, tapi jangan lupa toleh belakang sekali sekala.” pesannya dari jauh.

Anak kecil berhenti. Toleh ke belakang dan senyum. Patah balek ke pangkuan datuknya. Sambut tangan dan buku nipis bacaan si tua sambil bertanya, “Immanuel Kant ini siapa? Pencerahan itu apa?”

Si tua senyum bangga.

Anak kecil sudah pandai bertanya.

21 replies on “The Only Merdekakan Malaysia Run (6th): Anak Muda Malaysia, Generasi Gandrung Perubahan”

  1. please give him a space to write. he is entitled to write or express his opinions or any nonsense he wants to say.

    but, his article is of more credibility if it's from someone who has completed his law degree first before accusing the world is silly.

    so izmil, buck up and go and finish your law degree first.you will earn the respects from the others.

  2. tergelak guling2 aku bc komen si pembodek. bertambah guling lg ak bc artikel budak bajet besar ni. ckp mcm dh bsr, sedarlah skit budak2 sampah je. buat nyemak je. pastu bajet hero lak tu. mahasiswa la, apa la. belajar fail.repeat paper. memang bodoh. bangang. buang masa. ank cina ank india sibuk belajar nk dpt degree. ank melayu mcm izmil *kalau melayu la, nmpk cam melayu murtad* sibuk menjaja nama mahasiswa. aduh. bodoh btl kau izmil.sia2 malaysia dipenuhi oleh ank muda mcm kau.

  3. air mata terbening hiba akan sikap tuli luncai-luncai yang hina. ramai yang masih enteng akan bala yang bakal menimpa. mereka masih asyik dibuai lena konspirasi bobrok penggila wang negara. anak muda yang pandai bertanya diludah dgn umpatan tiada punca. kalau benar arus perdana yang mengalir, kenapa masih kotor airnya? terhanyut dengan wang projek-projek mega, birokrasi keji, dan bangkai dana rakyat marhaen? belum lagi menyentuh hanyirnya hubungan antara serumpun bangsa malaysia. slogan tinggal slogan. laungan 1Malaysia sambil tangan masih mencuri hak orang lain. hanya kerna dilahir berlainan warna, hilangkah nilai dilayan serupa? hakikat daging asalnya merah, direndam cuka masih tetap sama. lenggang jalan pasti berbeda namun semua tetap anak Malaysia.

  4. reply to 1st Komen :

    Pencerahan tu produk pencerahan la, fair and lovely, dulu ada pakai bleach sampai merah muka, nak jadi putih.

  5. Gandrung tu ape? Ntah ape2 generasi lowyer sekarang ni, btw, boleh tak loyar buruk cover cerita nurul izah komen pasal perlembagaan, sebab ada dua last questions yang ditanya, maka…yang mana satukah last question yang mutlak dan diterima pakai in the court of law in Malaysia?

  6. Saudara Izmil,

    Ini adalah satu nukilan yang amat baik. Syabas.

    Tidak selalu saya membaca sebuah rencana yang membuat saya meremang bulu roma, menyedari bahawa sekiranya tanah Malaysia ini dipenuhi dengan anak muda seperti anda, maka masa depat kita dengan diskusi dan intelek.

    Syabas. Saya menunggu lebih banyak rencana nukilan saudara di masa hadapan.

  7. apa yg ko tau psl kemerdekaan bdk mentah? setakat lahir nk kritik2 x pyh la. bajet bagus. pegi main facebook la. gi main game ke. budak2 x matang cm kau layak dok dlm buaian lg. hahahahaha! kangkong.

  8. Izmil-Well done! Tahniah! Buah fikiran diluar kotak! Very refreshing. Menunjukkan tahap intelek yang tinggi. Tajam dan tepat. Kalau ada sepuluh anak muda macam ni, Malaysia masih ada harapan untuk sambut ulangtahun yang ke 50. Tapi nampak gayanya lebih ramai yang membaca tetapi bila pemikiran mereka dicabar dan tidak tahu untuk react… terus nak lapor kpd polis. Macamlah polis tak ada kerja yang lebih berfaedah daripada nak siasat tulisan Izmil Amri.

    Walaupun saya mungkin tidak bersetuju kepada keseluruhan analisis saudara Izmil namun saya bersetuju untuk tidak bersetuju atas dasar dan adap dalam dialog secara berilmu. Tak perlulah merendah-rendahkan usia atau memperlekehkan penulis. Tak semestinya yang berusia dan dewasa itu tahu segala-galanya. Kalau dah rasa tercabar dengan tulisan Izmil, tulislah sebuah artikel yang menjawab setiap analisis yang dibuat Izmil yang tak dipersetujui. Jangan hanya sekadar melepaskan kemarahan dengan komen yang menunjukkan kedangkalan tahap pemikiran si-tukang-komen. Malu pada anak muda ini.

    Apa-apa pun saya sekali lagi ucap syabas kepada Izmil. Masalah perpaduan kaum yang masih berlegar dalam negara adalah hasil kerja sekerat dua juak-juak (didua-dua pihak) yang takut hilang kerelevanan dan kuasa yang dipinjamkan kepada mereka dengan menyambung usaha divide and rule tinggalan British. Banyak kajian yang boleh buktikan perkara ini. Rujuk kajian Mansor Mohd Nor, dan Saudara akan dapati bagaimana rakyat biasa hidup bersama tidak kira kaum atnpa konflik. Ini semua kerja gila pemimpin tak bertanggungjawab yang cuba main sentimen perkauman untuk kepentingan diri masing-masing. Ada yang tulis buku kononya Malaysia ni macam Timebomb. Kalau mereka ada latarbelakang ketenteraan dah tentu mereka tahu Timebomb tu mesti ada time limitnya. Malangnya apa yang mereka sangka timebomb tak meletup-letup lagi. Mereka ini semua lupa bahawa rakyat dan orang muda hari ini lebih bijak daripada zaman mereka.

    Yang menghairankan orang diluar sana adalah bagaimana rakyat multietnik dan multi agama di Malaysia boleh hidup penuh harmoni walaupun ada sekali dua perselisihan. Itupun yang didalangi manusia-manusia goblok yang lebih penting tembolok mereka sendiri. Disinilah kita perlu akui bahawa kesepaduan sosial yang wujud dalam ikatan masyarakat berbilang kaum yang selalunya dapat kita saksikan apabila pasukan Badminton Malaysia menentang negara China atau Indonesia adalah begitu rapat sekali dan lebih positif daripada paradigma konflik yang cuba diketengahkan sesetengah pihak. Namun kesepaduan ini perlu terus dibajai dan diperketatkan dan usaha blog seperti ini untuk menggalakan penyuburan kesepaduan sosial agar ia lebih mekar dan bugar perlu diberi ucapan tahniah.

    Tak ada orang yang akan rugi kalau negara ini didiami oleh semua kaum dalam keadaan aman, damai dan dengan ekonomi yang berkembang dan sosial politik yang stabil. Semoga Tuhan terus memberi rahmat kepada Malaysia! Good luck and all the best to you Izmil and please keep writing.

  9. sapa bdk nama izmil ni? aku rasa umur dia dlm 20an.atau baru 19.budak mentah.baru hidup.aku nk tnya kau la izmil, apa je yg ko tau psl kemerdekaan?setakat jiwa liberal kau tu tak pyh la. bkn ko lalui pahit getir zmn dulu2. aku rs ko pahit getir nak topup, nak tulis kt web ni je. tau kritik je. ko pikir ko dh cukup bagus? jgn rs ko betul sorg je..sbenarnya beribu org lg tgk ko slh. apa yg ko ckp tak msk akal lgsg. apa benda yg ko mahukan, perjuangkan? ko ni keliru. dh la, ko pg main lg bgs.

  10. Izmil,

    biarkan juak-juak sombong memalu gendang sumbang. yang cacat itu betah melirik hina akan perubahan. kaum muda yang memacu jentera pembanggunan, bertemankan nasihat kaum tua. tamadun Abassiyah dan Umayyah tumbang dek karatnya perilaku generasi muda mereka. kalau asyik terpana silaun kesilapan silam, sampai bilapun kita gagal meraih keuntungan masa hadapan. ini masa kita, generasi muda yang bangkit dari lena konspirasi bobrok penggila wang negara. yang enggan serta, kita talkinkan dengan simpati.

    ini tanah kita. semua menumpang sedikit rezeki Tuhan untuk semua. Malaysia bukan Malay-saja, persis nukilan si cantik Nurul Izzah. Malaysia milik semua. kita tanggung beban serupa menaikkan nama negara. jangan noda sumber-sumber yang ada. itu pusaka cucu cicit kita. jangan biarkan bapa-bapa kemerdekaan kita berguling mayatnya dek penangan tamaknya kita meraih keuntungan. kita lupa jiran tetangga yang sama-sama menyeka peluh membanting tulang untuk fajar 16 September.

    siapa lagi kalau bukan kita, yang masih tegang kulit muka dan lincah lenggang jalannya. bukan maksud mengenepikan golongan yang sedikit rapuh pinggulnya. mereka punya pengalaman. naratif hidup semalam sebagai panduan kita di hari esok. namun, semalam sudah berlalu. panduan bukan kepastian segalanya rentak yang sama. natijahnya masih berbening serupa. berjuang untuk sesuap nasi dan seteguk air.

  11. anak muda konon, anak muda lah yg menyumbang kepada kerosakan akhlak negara, runtuhkan institusi yang telah dibina oleh bapak2 terdahulu. anak muda konon, masih hingus dan taktau apa2, onar dan bahaya dunia ini bagai sudah dibawah ketiaknya, walhal hanya melukut di tepi gantang sahaja. apa yg ank muda tahu dan faham tentang perjuangan menentang komunis dan sebagainya. lahir2 tau kritik sahaja. lebih bagus menjadi panda. bak kata kau yg menulis ini, kan anak muda? tak matang.

  12. A great piece. Will share it on FB. Great that it's in Bahasa Malaysia. Hope my Malay friends read it.

    'Masih!

  13. Pencerahan itu apa? Pencerahan adalah :

    1) Kebebasan dari Apartheid/Fasisme
    2) Kebebasan dari Agama-Penganiayaan/Agama-Supremasi.
    3) Kesetaraan untuk semua etnik dan agama dalam semua aspek
    dasar, Hukum dan Perlembagaan.

Comments are closed.