Belia Harapan Negara. Begitulah bunyi slogan yang sering dilaungkan tetapi sejauh manakah dasar-dasar yang dilaksanakan sejajar dengan apa yang dilaungkan?
“Belia Harapan Bangsa. Belia Harapan Negara” “Belia tulang belakang Negara” Slogan–slogan tersebut memang manis didengar. Malah, semasa berada di bangku sekolah, sedikit kemanisan dirasai tatkala mendengar slogan-slogan tersebut dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin Negara yang sedang berucap di kaca televisyen. Namun, adakah slogan-slogan ini selaras dengan realiti? Adakah dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan benar-benar selaras dengan apa yang ingin disampaikan melalui slogan-slogan ini? Ataupun, adakah slogan-slogan ini sekadar pemanis sahaja, ibarat pencuci mulut yang dihidangkan selepas makan yang dapat mengukir senyuman di wajah untuk seketika? Ataupun, adakah slogan-slogan tersebut sekadar satu senjata dalam peperangan politik yang digunakan untuk mencapai matlamat pihak-pihak tertentu?
Sejak menjejakkan kaki ke menara gading, saya tidak pernah dapat merasakan keprihatinan kerajaan tentang kepentingan belia di negara kita dalam apa jua cara sekalipun. Saya tidak menafikan bahawa memang terdapat pelbagai usaha dalam membentuk dasar mahupun polisi oleh kerajaan bagi pembangunan belia di Negara ini, tapi ia hanyalah usaha fizikal yang hanya dapat memenuhi keperluan fizikal sahaja sedangkan keperluan mental masih belum dipenuhi. Ini adalah kerana golongan belia pada masa kini boleh diibaratkan sebagai burung yang telah dicabutkan sayapnya, terutama sekali buat mereka yang masih menuntut ilmu di Universiti.
Golongan Mahasiswa juga merupakan sebahagian daripada golongan belia Negara kita, tetapi kebebasan mereka telah dihadkan oleh AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti). Kenapa belia yang tidak perlu terperuk di dalam universiti boleh mendapat hak untuk memasuki bidang politik sedangkan mereka yang memilih untuk melanjutkan ilmu ke Universiti kehilangan peluang itu? Adakalanya, saya sendiri berasa hairan dengan pelaksanaan dasar ini, yang mana pada masa yang sama, undang-undang telah mewajibkan belia yang mencapai umur 21 tahun untuk mendaftar sebagai pengundi. Bukankah ini bererti bahawa mereka juga telah secara tidak langsung diberikan hak melalui undang-undang untuk memilih parti-parti politik yang akan membentuk sistem pentadbiran Negara?
Perlaksanaan dasar ini juga bererti bahawa mahasiswa yang dilarang melibatkan diri dalam bidang politik juga terlibat secara tidak langsung dalam mencapai keputusan politik. Slogan-slogan “Undilah dengan bijak” , “Undilah pemimpin yang berupaya dan berkaliber” hebat dilaungkan oleh calon-calon politik mahupun kerajaan melalui pelbagai saluran media massa. Akan tetapi, sebagai sebahagian daripada belia di Negara ini, tidakkah anda berasa lucu dengan laungan slogan ini? Mereka menyeru setiap pengundi mengundi dengan bijak, tetapi bagi pengundi yang tidak berpeluang memahami latar belakang politik, bagaimanakah mereka hendak mengundi dengan bijak? Apakah kriteria-kriteria yang patut menjadi panduan mereka semasa mengundi?
Barangkali niat kerajaan memang baik, iaitu mereka bimbang mahasiswa akan dijadikan alat oleh pihak yang berniat jahat untuk mencapai matlamat tertentu, namun ini bukan merupakan suatu jalan penyelesaian yang paling sempurna. Memang wajar mahasiswa tidak dibenarkan menjadi wakil parti-parti politik, tetapi mereka sepatutnya diberi peluang untuk menghadiri aktiviti-aktiviti ataupun ceramah politik, sebagai pendedahan serba sedikit tentang dunia politik, dan ini akan menbantu mereka mengundi dengan bijak ketika pilihanraya.
Bukan itu sahaja, agihan peruntukan dalam belanjawan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti mahupun program-program yang melibatkan pembangunan belia juga tidak mencukupi. Persatuan-persatuan Belia di Negara ini kadang-kadang terpaksa menghentikan projek-projek yang berkaitan dengan belia hanya kerana kekurangan sumber kewangan. Alasan yang diberikan oleh kerajaan ialah mereka menghadapi masalah kewangan dan oleh itu peruntukan-peruntukan tertentu terpaksa dikurangkan. Bukankah Belia Harapan Negara? Kenapa subsidi-subsidi dan elaun-elaun kepada pihak tertentu tidak dikurangkan, tetapi golongan belia pula yang menjadi mangsanya?
Setelah meneliti keadaan yang berlaku dan dengan terjadinya peristiwa yang melibatkan beberapa orang mahasiswa baru-baru ini, saya dapat merasakan satu perubahan yang besar telah berlaku, iaitu belia tidak lagi menjadi harapan Negara, sebaliknya Negara yang menjadi harapan belia. Sebagai belia, saya sendiri kadang-kala tidak dapat menentukan samada kerajaan mementingkan golongan belia atau tidak? Golongan belia pada hari ini mengharapkan dasar-dasar Negara ataupun polisi yang dapat memberikan manfaat kepada golongan belia di Negara ini.
Jadilah negara yang boleh diharapkan oleh belia dahulu, barulah kami bersedia untuk menjadi belia harapan negara.
Ooi Chun Sean adalah seorang pelajar jurusan undang-undang yang masih mengejar impian di universiti. Pada cuti semester, dia telah mengambil kesempatan untuk bekerja sebagai pemagang di sebuah firma guaman. Walaupun menceburi jurusan undang-undang, Chun Sean tidak berlidah tajam dan tatkala berasa kurang selesa untuk menyuarakan pendapat. Dia lebih cenderung menyampaikan pandangan dan pendapat melalui coretan dan karangan. Dia masih mempertimbangkan sama ada akan terus menceburi bidang ini.
Read this first: LB Terms of Use
5 Responses to Seandainya Belia Harapan Negara