Berikut adalah monolog seorang anggota polis muda yang telah diarahkan untuk mengawasi keadaan di perhimpunan “Protes Air” bertempat di Masjid Negara pada 5 Disember 2010.
Aku telah diarahkan bertugas di kawasan KL Sentral pagi ini. OCPD bagi arahan supaya menahan sesiapa yang memakai baju merah atau apa-apa lambang yang menunjukkan seolah-olah mereka hendak ke perhimpunan Protes Air di Masjid Negara tengahari ni. “Jangan bagi mereka naik LRT,” katanya. Kami angguk saja. Sudahlah kena kerja pada hari Ahad. Tiba-tiba Alia menjerit, “Yang berbaju merah bertiga tu, cepat tahan mereka!” Mak datuk! Makcik ni kuat jugak suaranya ketika sedang bertugas. Hari tu kami menonton wayang, apa benda entah “The Kronik of Narnia” ke apa, Minah tu bukan main lagi lemah lembut. Ayu sungguh!
Aduh! Tolak aku pulak dia ni. “Cepatlah!” Garangnya. Suka aku. Ngap. Aku nampak dua orang India dengan seorang Melayu, semua berbaju merah. Aku pun meluru ke arah mereka dan membuat tangkapan. Nizam menggari mereka. Mulalah India seorang tu memekak- hak inilah, hak itulah. Semua benda hak dia. Alia bisik kat aku, “Mereka ni orang besar PSM. Mereka memang aktif buat demonstrasi.”
Aku pun terfikir sejenak. Haram jadah apa PSM ni. Persatuan Silat Malaysia kah? Pusat Seni Mak Yong kah? Setahu aku, Hindu mana boleh masuk silat! Kalau Mak Yong, tak payah cakap ah, tengok je la badan “sedap” dia. Pelik aku macam mana dia boleh berlari dari polis waktu protes. Mesti dah selalu kena tangkap ni.
Tapi oleh kerana aku nak cover depan Alia yang memang pandai bab-bab politik ni, aku pun angguk. “Itu lah kan. Tak serik-serik mereka ni!”
Kami telah diarahkan supaya membawa mereka ke balai.
Sejam dah berlalu. Tiba-tiba, Tuan Lim minta bawa mereka ke Masjid Negara dan lepaskan mereka. Dia kata, bila sampai sana, kita kena sertai anggota-anggota lain di sana yang mengawal perhimpunan.
Aku masuk ke dalam kereta polis dengan rasa kurang sabar untuk beraksi. Walaupun aku tak diberikan topeng gas atau perisai yang sangat bergaya gila babi tu macam pasukan khas lain, tak apa. Janji dapat pergi. Nizam beri aku sebuah beg plastik kecil yang berisi garam. Aku tanya “Untuk apa?” Jawabnya, “Kau tengok lah nanti.” Gila ke apa mamat ni beri aku garam banyak-banyak ni. Mentang-mentang aku belum makan. Buat lawak bodoh pula.
Nizam pernah ditugaskan menjaga demonstrasi, dia kata “syok gila”. Dapat praktis kunci silat bila nak tangkap peserta demonstrasi. “Apa guna Bengkung Hitam aku kalau tak guna kan? Haha! Tapi hari memang panas selalunya.” Kata Nizam lagi, “sebab Tuhan tak restu.”
Setibanya di Masjid Negara., keadaan bising dan kecoh. Aku dengar bunyi siren dan laungan para demonstran “Hidup Rakyat!” dan macam-macam lagi. Aku semakin teruja! Aku nampak ramai gila polis. Ada dalam seribu orang kot. Boleh buat protes sendiri dah. Protes Anti-Kerja Hari Ahad.
Tapi peserta demonstrasi pun ramai gila beb. Ternampak juga para demonstran yang membawa anak-anak kecil mereka! Apa ni! Tak patut bawa anak-anak ke demonstrasi yang ganas dan bahaya macam ni! Gila ke apa? Memang tak bertanggungjawab langsung diorang ni. Betul lah kata iklan kat TV tu, demonstrasi ni memang tak patut jadi budaya kita. Perempuan pun aku tengok banyak, yang pakai tudung labuh merata. Fuh, memang crazy frog.
Sebelum rombongan tu dapat lepas roundabout sepenuhnya, dah dengar tembakan gas pemedih mata dan nampak juga trak FRU yang menembak meriam air. Cepat juga diorang ni. Para peserta mula lari balik ke perkarangan Masjid. Rasa-rasanya, dah nak habis lah ni kalau mereka undur. Seorang peserta menjerit “Pergi mampus polis!” Aku juga dengar seorang anggota polis di belakang berkata “Tembak je mereka ni!” Hati aku mula rasa tak senang.
Trak FRU yang merah menyala itu kemudian bergerak ke hadapan perkarangan masjid dan menembak meriam air itu terhadap mereka yang sedang berdiri saja di situ. Aih, mereka tak buat apa pun. Dah undur dah pun. Kemudiannya, makin banyak tembakan gas pemedih mata ditembak ke perkarangan.
Aduh! Babi! Sakit sial kena gas ni! Apahal aku yang tengah kerja pun kena sekali ni?! Air meriam itu terkena juga! Anak haram!! Aku ingat air kosong biasa, rupa-rupanya air dia pun pedih macam kena asid! Memang FRU ni mengamalkan polisi “tanpa diskriminasi.” Dekat Masjid pulak tu. Mata, hidung dan mulut aku rasa sakit sampai hingus meleleh-leleh masuk ke mulut aku.
Nizam suruh aku makan garam dan minum air yang dia kasi. Rupa-rupanya garam digunakan untuk mengurangkan kesan gas pemedih mata ini. Aku tengok, para peserta demonstrasi pun buat yang sama. Tak pernah aku tahu.
Macam ni rupa-rupanya, rasa sebenar benda-benda ni. Hormat aku terhadap para peserta demonstrasi meninggi. Ada seorang mak cik ni siap kata, “Kami tidak akan berundur walaupun kami mati demi anak-anak kita!” Apa yang buat semangat mereka kuat sangat ni? Sebenarnya, apa tujuan demonstrasi ni?
Seorang demonstran membawa sepanduk yang bertulis “Hak Air, Dari Tuhan Untuk Rakyat, Bantah Kenaikan Tarif Air dan Penswastaan!” Aku ada dengar juga hari tu. Dah lah gaji polis ni bukan lah banyak mana pun. Aku memang faham kawan-kawan aku yang kena cari duit kopi. Mana tak nya, kami polis pun ada anak, bini dan hutang juga. Nak naik lagi harga air yang memang benar, milik Tuhan? Haih. Macam manalah orang tak makan rasuah.
Mereka ni benci sungguh dengan perkataan “swasta” ni. Dengar juga bos syarikat tu, gaji dia beratus-ratus ribu ringgit sebulan. Ambil untung yang melampau daripada kurniaan Tuhan. Aku tak sangka para demonstran ni semua sanggup ke jalanraya untuk isu ni. Ada kesan kah terhadap orang atasan? Tapi, Agong sanggup terima memorandum kan? Mungkin ada juga yang faham.
“Polis pun rakyat juga, kamu pun sakit kalau air naik, jangan serang kami!” Pesan seorang demonstran muda kepada kami. Kata-kata itu mencerminkan perasaan aku yang tak sangka akan timbul ketika ini. Aku pandang dia atas bawah je la. Tak dapat nak senyum, nanti kena tampar.
Sewaktu semua ini sedang berlaku, badan dan muka aku serta kawan-kawanku bermandikan air peluh. Membuat aku tertanya; Teringat kata-kata Nizam apabila dia kata matahari memang panas sewaktu mana-mana demo kerana “Tuhan tak restu.” Ada benda yang kacau otak aku. Tuhan tak restu demonstrasi mereka ke, atau restunya tidak diberikan kepada kami, Pasukan Polis? Yalah, orang yang berdemonstrasi dan polis yang bertugas, kami di bawah matahari yang sama. Keterikkannya pun, kami kongsi bersama.
Seorang pak cik tua berketayap, berbaju merah, berjalan dengan perlahan di sebelahku. Dia terbatuk-batuk sambil membongkokkan belakangnya, matanya memandang tar di atas jalan. Ternyata dia begitu akibat terkena gas dan air berasid. Pak cik itu kemudiannya duduk bersandarkan tayar depan kereta polis di belakangku. Aku menoleh kiri dan kanan, kemudian aku mengeluarkan beg plastik berisi garam dari dalam kocekku; “Pak cik, ambil sikit.”
The Worried Student merupakan seorang Mahasiswa daripada sebuah Universiti tempatan yang hanya mengambil pelajar Bumiputera dan pelajar dari luar negara, melupakan hampir setengah daripada Rakyatnya di tanah air sendiri.
Read this first: LB Terms of Use
5 Responses to Monolog Seorang Anggota Polis