Perihal Melucutkan Kewarganegaraan

Malaysian Passport | Image Source http://cdn.wn.com

Malaysian Passport | Image Source http://cdn.wn.com

Akhir-akhir ini, saya tidak banyak mengendahkan senario politik tanahair. Mungkin kerana saya telah jelak dengan gelagat politikus-politikus yang lebih gemar membangkitkan isu-isu remeh dan temeh daripada cuba menyelesaikan masalah yang membelenggu negara. Sentimen ini saya percaya juga dirasakan oleh begitu ramai anak muda di luar sana. Bagi mereka yang prihatin tentang nasib negara, mereka sedar bahawa harapan untuk Malaysia yang lebih baik berada di tangan rakyat biasa, bukan ahli politik yang punya agenda.

Namun beberapa hari yang lepas, saya terlintas secebis berita yang menarik perhatian saya. Media telah melaporkan bahawa pada ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, telah mencadangkan di Parlimen supaya kerajaan mewujudkan suatu ‘Suruhanjaya Pelucutan Kerakyatan’ bagi mengambil tindakan terhadap rakyat negara ini yang mencemarkan nama baik negara.

Menurut penyata rasmi Parlimen (hansard) bertarikh 8 Mac 2011, Ibrahim Ali berkata; “Suruhanjaya Perlucutan Kerakyatan ini saya cadangkan apabila ada mana-mana pihak yang memburukkan negara lari ke luar negara, mengguna media baru memburukkan negara tidak kira dia ini kaum apa sama ada dia Melayu, dia kaum Cina kah, India kah sesiapa sahaja yang sekarang ini menjadi warganegara tetapi tidak menunjuk ketaatsetiaan dan menulis melakukan tindakan-tindakan yang bukan-bukan yang bercanggah dengan undang-undang maka saya percaya orang-orang seumpama ini tidak wajar menjadi rakyat negara Malaysia.”

Walaupun saya seorang peguam, saya bukanlah arif tentang perkara-perkara Perlembagaan. Saya bukanlah peguam perlembagaan tersohor seperti Tuan Hj Sulaiman Abdullah ataupun Encik Tommy Thomas. Saya juga bukanlah pakar perlembagaan seperti Datuk Professor Shad Saleem Faruqi dan Professor Abdul Aziz Bari. Saya hanya seorang peguam muda yang masih basah di belakang telinga, terpinga-pinga hendak memahami Perlembagaan.

Tetapi saya begitu pasti bahawa cadangan yang diusulkan oleh ahli Parlimen tersebut adalah bercanggah dengan Perlembagaan. Perihal kewarganegaraan termaktub di dalam Perlembagaan dan apa yang jelas adalah bahawa ianya tidak boleh sewenang-wenangnya dilucutkan mengikut tepukan dada dan selera sang pemerintah. Hanya Perlembagaan yang memberikan kewarganegaraan, dan hanya Perlembagaan yang memperuntukan bagaimana ia boleh dilucutkan.

Mengikut Perlembagaan, terdapat empat cara bagaimana seseorang itu menjadi warganegara Malaysia, iaitu melalui kuatkuasa undang-undang, pendaftaran, naturalisasi dan pencantuman wilayah.

Mereka yang menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang adalah mereka yang secara amnya menjadi warganegara tanpa memerlukan keadah formal seperti permohonan, pendaftaran atau sumpah setia. Sebahagian besar rakyat Malaysia menjadi warganegara Malaysia melalui proses ini. Contohnya, seseorang yang lahir di Malaysia dan mempunyai ibu atau bapa yang merupakan warganegara Malaysia memperoleh kewarganegaraan melalui proses ‘automatik’ ini.

Manakala kewarganegaraan melalui pendaftaran dan naturalisasi pula memerlukan sesuatu kaedah formal seperti pendaftaran ataupun mengangkat sumpah. Kaedah-kaedah ini juga memberi kuasa kepada kerajaan Persekutuan untuk menentukan pendaftaran atau naturalisasi tersebut.

Kaedah terakhir iaitu pencantuman wilayah pula adalah sekiranya terdapat wilayah baru yang dimasukan ke dalam Malaysia selepas Hari Malaysia.

Bolehkah kewarganegaraan seseorang itu dilucutkan? Penamatan kewarganegaraan juga terkandung di dalam Perlembagaan.

Mana-mana warganegara Malaysia boleh melepaskan kewarganegaraannya secara sukarela. Dia hanya perlu membuat akuan dan mendaftarkannya dengan kerajaan.

Kerajaan Persekutuan juga mempunyai kuasa untuk melucutkan kewarganegaraan seseorang itu kerana telah memperolehi atau menggunakan kewarganegaraan asing.

Di samping itu, kerajaan Persekutuan juga boleh melucutkan kewarganegaran seseorang itu sekiranya telah secara sukarela menuntut dan menggunakan hak yang hanya diberikan untuk rakyat negara lain sahaja. Contohnya, jika di dalam sebuah negara itu hanya rakyat negara itu dibenarkan membuang undi dan seseorang rakyat Malaysia telah pergi membuang undi, maka dia mungkin boleh dilucutkan kewarganegaraannya.

Perlembagaan juga menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan sesiapa yang menjadi warganegara melalui pendaftaran atau penaturalisasian jika berpuas hati bahawa orang itu telah menunjukkan dirinya tidak taat atau tidak setia kepada negara.

Tetapi, penting untuk diingatkan bahawa ini hanya boleh dilaksanakan ke atas mereka yang memperolehi kewarganegaraan melalui pendaftaran atau penaturalisasian, bukannya mereka yang memperolehi kewarganegaraan mereka melalui kuat kuasa undang-undang. Ini bermakna, bagi sebahagian besar rakyat Malaysia yang menjadi warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang, kerajaan tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk melucutkan kewarganegaraan mereka kecuali di bawah peruntukan berkenaan dengan kewarganegaraan asing.

Mencemarkan nama negara, mengkritik kerajaan atau Raja-raja, tidak sehaluan dengan mana-mana parti politik dan melanggar undang-undang adalah antara alasan yang sering digunakan oleh gerombolan tertentu untuk ‘mendesak’ supaya seseorang atau sesuatu kumpulan itu dilucutkan kewarganegaraan mereka. Tetapi, bagi sebahagian besar rakyat Malaysia, alasan-alasan ini bukanlah sebab-sebab yang boleh mengakibatkan mereka dilucutkan kewarganegaraan mereka.

Cadangan ahli Parlimen Pasir Mas tersebut langsung tidak berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan, kerana kewarganegaraan seseorang itu tidak boleh ditentukan oleh sebuah suruhanjaya. Perihal kewarganegaraan termaktub dan diperuntukan oleh Perlembagaan. Seseorang rakyat Malaysia dijamin kewarganegaraannya oleh Perlembagaan, bukannya mengikut rasa hati golongan tertentu.

Ironis sungguh, kerana kita seringkali terdengar laungan untuk ‘mempertahankan Perlembagaan’ atau lebih khusus lagi Perkara 153 iaitu kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak, tetapi perkara-perkara lain yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak pula dijunjung dan dihormati.

Mungkinkah ini sebabnya golongan muda tidak lagi menghormati ahli politik?

*Rencana ini diterbitkan di dalam Sinar Harian tidak lama dahulu, tetapi telah disunting kerana terlalu panjang. Inilah versi asal yang tidak disunting.

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda. Dia sudah muak mendengar kata-kata ahli politik yang bercakap ikut suka hati.

Tags: , ,


Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya hanyalah seorang warga Malaysia yang mempunyai terlalu banyak pendapat. Dia adalah seorang yang patriotik, walaupun bukan dengan cara biasa seperti mengibar bendera. Dia percaya Malaysia mempunyai potensi yang hanya dapat direalisasi sekiranya rakyatnya belajar bersatu-padu dan bukannya berpecah-belah. Ikutilah Syah di Refleksi Minda.

Posted on 26 March 2011. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

5 Responses to Perihal Melucutkan Kewarganegaraan