Apa yang menjadikan seorang yang lahir dalam keluarga MCA menolak segala gambaran beliau tentang dunia politik ini?
“Aku BN, aku orang baik. Kau Roket, kau orang jahat.” Jerit seorang budak perempuan kepada rakan sebayanya di bilik gerakan MCA sebuah kampung kecil di negeri Pahang. Sayalah budak perempuan itu, lebih 20 tahun yang lalu.
Saya lahir di keluarga MCA di mana pakcik saya adalah ketua cawangan MCA yang taat kepada partinya. Walaupun seorang penoreh getah yang berpendapatan rendah, pakcik sanggup menaiki bas selama sejam ke bandar untuk menghadiri mesyuarat MCA bahagian setiap bulan. Saya dibawa bersama kerana pada masa itu saya masih kecil untuk ditinggalkan berseorangan diri di rumah. Maka saya diperkenalkan kepada pemimpin-pemimpin BN terutamanya pemimpin-pemimpin MCA sejak kecil lagi. Ada di antara mereka menyandang jawatan tinggi di EXCO negeri dan kabinet.
Pakcik saya hidup bersama MCA, begitu juga dengan saya. Pakcik memang sanggup korban untuk MCA sehingga alamat tempat tinggal kami didaftarkan sebagai alamat cawangan MCA. Apabila sampainya pilihanraya dan pilihanraya kecil, rumah saya akan dijadikan bilik gerakan MCA. Pada ketika-ketika itu, rumah sepi yang didiami dua orang – pakcik bersama anak saudara akan menjadi tempat berkumpul orang-orang kampung yang suasananya begitu meriah sekali. Ada orang yang membantu ikat dan klip poster, ada orang yang masak untuk semua, ada juga orang yang datang sembang politik. Kami budak-budak kecil begitu ghairah dan gembira dengan perubahan besar ini. Kami akan turut bersama membantu dalam kerja-kerja mengikat dan menampal poster dan kami akan mendapat duit poket sebagai pulangan.
Pada masa itu, dunia saya mudah sahaja. Saya menganggap manusia hanya dibahagikan kepada dua jenis iaitu baik dan jahat. Pada pengetahuan saya, BN itu baik dan roket itu jahat. Maka perdana menteri dan timbalan perdana menteri pada masa itu Mahathir dan Anwar itu baik dan Lim Kit Siang itu jahat. Saya tidak pernah meragui “pengetahuan” dan “kepercayaan” saya ini sehinggalah hari itu, hari yang bakal menukar seluruh persepsi hidup saya.
Pada ketika itu saya pelajar tingkatan enam yang menuntut di bandar. Oleh kerana sekolah terletak jauh dari rumah, saya menyewa rumah bersama rakan-rakan sekolah di kawasan berhampiran dengan sekolah. Hari itu kami menonton TV di ruang tamu seperti biasa. Tiba-tiba TV menyiarkan pengumuman tergempar menyatakan timbalan perdana menteri ketika itu Anwar Ibrahim dipecat jawatannya dan meminta penonton untuk mengikuti berita kemudian.
Berita itu begitu memeranjatkan saya. Ia bagaikan ketulan meteor yang tiba-tiba jatuh di tengah-tengah ruang tamu. Seribu satu soalan timbul di fikiran saya. Kenapa perkara ini berlaku? Kenapa pemimpin yang selama ini dijunjung dan disayangi itu dipecat dari jawatannya tiba-tiba sahaja? Apa kesalahan yang dilakukan beliau? Selepas saya mengetahui bahawa Anwar dipecat oleh Mahathir, lebih banyak soalan bermain dalam hati saya. Kenapa pemimpin baik memecat pemimpin baik? Apa yang sebenarnya berlaku? Mana satu pemimpin yang benar-benar baik di antara dua pemimpin ini?
Saat-saat itu adalah saat-saat yang buat pertama kalinya saya skeptik terhadap apa yang ditanam dan dicurah pada diri saya sebagai “ilmu-pengetahuan”. Kepercayaan saya terhadap ketetapan baik-buruk dunia ini runtuh sama sekali. Saya mula kabur dengan kebenaran. Saya mula bertanya soalan dan mencari jawapan.
Maka saya mula membaca kritikan-kritikan politik, budaya dan sosial untuk mencari jalan ke arah kebenaran. Saya yang sebelum ini hanya membaca novel dan cerpen sastera mula mengambil tahu dengan lebih mendalam tentang politik dan membaca rencana-rencana berbentuk kritikan dari penulis-penulis tempatan dan luar negara. Pada masa yang sama, saya mula menulis rencana untuk ruang pelajar dan mahasiswa-mahasiswi di ahkbar Cina demi meluahkan rasa tidak puas hati saya terhadap apa yang berlaku di sekeliling saya.
Apabila pemuda-pemudi di Kuala Lumpur mengadakan demokrasi Reformasi, saya di luar Kuala Lumpur mengalami reformasi fikiran yang tidak kurang hebatnya. Bermula dari hari tersebut, saya skeptik terhadap segala “ilmu-pengetahuan” yang disalurkan kepada kita semua dengan pelbagai cara. Saya tidak lagi percaya secara membuta huruf isi kandungan media arus perdana mahupun ucapan pemimpin. Saya mula mengerti kepentingan untuk memiliki pemikiran yang bebas merdeka.
Sehingga kini saya masih dalam perjalanan. Semakin lama saya mencari, semakin saya yakin bahawa perjalanan ini tidak terhingga. Ia adalah ekspedisi seumur hidup.
Pengalaman saya ini selalu memperingatkan saya bahawa jangan mudah percaya kepada sesuatu perkara. Ahli falsafah sains Karl Popper pernah berkata, jikalaupun kita mencapai kebenaran, kita tidak akan tahu. Ia memang benar dan saya percaya, dengan permikiran terbuka dan skeptik, kita mungkin lebih dekat dengan kebenaran.
Chan Wei See adalah graduan saujana jurusan Sejarah dan Falsafah Sains di Universiti Malaya. Beliau menjadi ahli pasukan Merdeka Review sejak media internet ini ditubuhkan enam tahun dahulu.
Tags: Anwar Ibrahim, Barisan Nasional, Chan Wei See, Karl Popper, MCA, Mahathir, Reformasi
Posted on 8 July 2011. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.
Read more articles posted by Chan Wei See.
Read this first: LB Terms of Use
LoyarBurok - An online journal owned by Liberal Banter Sdn Bhd (Company No. 723502-K)
Creative Commons licence to posts | Full copyright in name and logo | *Please internalise our "Read this first!" carefully
5 Responses to BN Baik, Roket Jahat, kan?