Semalam kita mengenali institusi “Parlimen”, hari ini, kenali pula institusi “Eksekutif”.

16 Sept 1963. Tarikh keramat yang mengukir sejarah, tarikh terbentuknya Persekutuan Malaysia. Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung menjadi satu. Lahirlah negara baru “Malaysia”.

Perlembagaan Persekutuan adalah tunjang kepada negara ini.  Perlembagaan yang mulanya digubal untuk Persekutuan Tanah Melayu telah melalui pengubahsuaian ketara dengan terbentuknya Malaysia.

Sebagai menyambut hari yang penuh bermakna ini dan dengan semangat ingin merakyatkan Perlembagaan, Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam (“Jawatankuasa”) melalui kempen MyConstitution (PerlembagaanKu) mempersembahkan kempen-mini melalui internet yang dipanggil, “Menghitung Hari ke Hari Malaysia”.

Bermula dari 7 Sept 2011 hinggalah 15 Sept 2011, Jawatankuasa akan menyebar ke seluruh pelusuk internet dua inisiatif utama MyConstitution iaitu Buku Panduan Rakyat (Rakyat Guides(“RG”)) dan juga video-video Pesanan Khidmat Rakyat (Rakyat Service Advertisements (“RSA”)).

Setiap hari anda akan disajikan dengan tema yang berlainan berkenaan dengan konsep-konsep asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.  Kami akan memaparkan teks yang menjadi kandungan RG.  Kami juga akan mempertontonkan RSA kami sebagai kesinambungan kepada tema hari tersebut. Sekiranya anda mengikuti kempen-mini ini, anda boleh memahami asas Perlembagaan Persekutuan dalam masa sembilan hari!

Kami juga memerlukan kerjasama anda untuk membantu kami menyebarkan kempen-mini ini melalui saluran-saluran anda, supaya kita dapat sama-sama merakyatkan Perlembagaan.

Pesanan Khidmat Rakyat (RSA)

[youtube]sGdRy2wMAko[/youtube]

Buku Panduan Rakyat (RG)

Apa itu Eksekutif?

Di dalam kerajaan persekutuan, Eksekutif terdiri daripada:
• Majlis Raja-raja
• Yang di-Pertuan Agong (“YDPA”)
• Perdana Menteri
• Jemaah Menteri (“Kabinet”)
• Perkhidmatan awam

Apa yang Eksekutif lakukan?

Eksekutif mentadbir negara mengikut undang-undang yang digubal oleh Parlimen. Setiap cabang Eksekutif mempunyai peranan tersendiri. Kita akan membincangkannya di bawah.

Apakah peranan Majlis Raja-raja?

Majlis Raja-raja terdiri daripada sembilan Raja-raja dan empat Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja.

Peranan Majlis Raja-raja adalah:
• Memilih dan berkuasa memecat YDPA. Juga memilih Timbalan YDPA. Hanya Raja-raja mengambil bahagian dalam peranan ini;
• Mempunyai kawalan ke atas upacara Islam;
• Diperlukan untuk meluluskan undang-undang tertentu. Contohnya, undang-undang yang berkaitan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja harus mendapat kebenaran Majlis Raja-raja;
• Harus dirujuk sebelum perlantikan tertentu dibuat, seperti perlantikan Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Ketua-Ketua Hakim  Mahkamah-mahkamah Tinggi, hakim-hakim mahkamah atasan, Ketua Audit Negara dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya;
• Melantik 2 daripada 5 ahli Mahkamah Khas iaitu mahkamah bagi menjalankan prosiding oleh atau terhadap YDPA atau Raja-raja Negeri dalam sifat peribadi mereka;
• Membincangkan isu-isu dasar kebangsaan dan apa-apa perkara lain yang difikir sesuai.

Persetujuan bagi meluluskan undang-udang tertentu:

Persetujuan Majlis Raja-raja diperlukan untuk meluluskan undang-undang berkenaan dengan perkara tertentu di dalam Perlembagaan termasuklah:

• Perkara 153 berkenaan dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah komuniti lain;
• Perkara 152 yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan;
• Bahagian III tentang kewarganegaraan;
• Perkara 10(4) yang melarang persoalan mengenai isu-isu sensitif seperti keistimewaan di bawah Perkara 153;
• Perkara 2(b) berkenaan dengan pengubahsuaian sempadan sesebuah Negeri.

Apakah peranan YDPA?

YDPA adalah seorang raja berpelembagaan. Di bawah Perlembagaan, YDPA adalah Ketua Umum Negara bagi Persekutuan. Baginda adalah Ketua Agama Islam di negeri baginda sendiri dan di Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Baginda juga merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

Di bawah Perkara 153 Perlembagaan, YDPA bertanggungjawab melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah komuniti-komuniti lain.

YDPA dipilih oleh Majlis Raja-raja daripada sembilan Raja-raja Negeri untuk penggal lima tahun dan pemilihan dijalankan mengikut giliran. Yang-di Pertua Negeri bagi Negeri yang tidak mempunyai Raja tidak boleh menjadi YDPA dan tidak boleh mengambil bahagian dalam pemilihan YDPA.

YDPA boleh letak jawatan dengan menulis kepada Majlis Raja-raja. YDPA juga boleh dipecat oleh Majlis Raja-raja.

Kuasa YDPA datang daripada Perlembagaan. Perlembagaan menyatakan bahawa dalam menjalankan tugas baginda, YDPA harus secara amnya mengikut nasihat Perdana Menteri atau Kabinet. Contohnya:

• Dalam melantik hakim-hakim, YDPA harus bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri;
• Bagi perlantikan dan pemecatan semua menteri Kabinet (kecuali Perdana Menteri), YDPA harus bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.
• Dalam membuat pengisytiharan darurat, YDPA harus bertindak mengikut nasihat Kabinet.
• Dalam memanggil atau menangguhkan Dewan Rakyat, YDPA bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.

Namun begitu, terdapat beberapa fungsi dan kuasa YDPA di mana baginda tidak perlu bertindak di atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet tetapi atas budibicara sendiri, seperti:

• perlantikan Perdana Menteri. Namun begitu, YDPA harus melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majority ahli Dewan Rakyat;
• tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
• meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu

Apakah peranan Kabinet?

Kabinet terdiri daripada Menteri-menteri dan adalah badan perangka dasar yang tertinggi di dalam Persekutuan. Menteri-menteri tersebut menjalankan dan mengawal fungsi kementerian-kementerian yang mentadbir negara. Ahli Kabinet haruslah juga seorang ahli Parlimen (samada Dewan Rakyat atau Dewan Negara). Menteri-menteri dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri yang bermaksud bahawa mereka dipilih oleh Perdana Menteri.

Apakah peranan Perdana Menteri?

Perdana Menteri adalah Ketua Kerajaan. Beliau dilantik oleh YDPA. Dalam melantik Perdana Menteri, YDPA menggunakan budibicaranya tetapi harus melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Secara amalan, Perdana Menteri selalunya adalah ketua parti atau ketua gabungan parti politik di dalam Dewan Rakyat.

Sekiranya Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Negara, beliau mempunyai dua pilihan: (i) meletakkan jawatan seluruh Kabinet supaya YDPA dapat melantik Perdana Menteri baru, atau (ii) menasihati YDPA untuk membubarkan Dewan Rakyat bagi tujuan pilihanraya umum yang baru.

Di bawah Perlembagaan, peranan Perdana Menteri termasuklah menasihati YDPA dalam;
• perlantikan 44 daripada 70 Senator;
• pemanggilan atau penangguhan sidang Dewan Rakyat;
• perlantikan hakim-hakim mahkamah atasan (iaitu Mahkamah-mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan;
• perlantikan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara;
• perlantikan Pengerusi dan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pasukan Polis, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Majlis Kewangan Negara dan Majlis Angkatan Tentera; dan
•  Perlantikan Yang di-Pertua Negeri bagi negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Kebanyakan fungsi di atas dikatakan dilakukann oleh YDPA tetapi sebenarnya YDPA harus mengikut nasihat Perdana Menteri.

Apakah peranan Timbalan Perdana Menteri?

Perlembagaan tidak mempunyai peruntukan tentang Timbalan Perdana Menteri tetapi mengikut amalan, Malaysia mempunyai seorang Timbalan Perdana Menteri yang telah dilantik daripada Kabinet.

Apakah Perkhidmatan-perkhidmatan Awam Malaysia?

Perkhidmatan awam Malaysia termasuklah:-

•    pasukan polis
•    angkatan tentera
•    perkhidmatan pendidikan

Ia juga termasuk kakitangan awam seperti yang berkhidmat untuk kementerian-kementerian dan juga kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Kakitangan perkhidmatan awam tidak bertukar sekiranya Kerajaan bertukar, mereka bertanggungjawab untuk perjalanan sehari-harian kementerian dan jabatan kerajaan.

Adakah Eksekutif bertanggungjawab kepada Parlimen?

Menteri-menteri bertanggungjawab kepada Parlimen. Parlimen memantau Menteri-menteri melalui masa soalan, iaitu apabila ahli Parlimen menyoal Menteri-menteri tentang dasar-dasar kerajaan. Kawalan juga diamalkan melalui Jawatankuasa yang dibentuk di Parlimen bagi isu-isu tertentu.

Soalan-soalan Lazim

1.  Adakah Perdana Menteri dan ahli Kabinet lain perlu mengangkat sumpah?

Ya, Perdana Menteri dan ahli Kabinet lain perlu mengangkat sumpah untuk menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

2. Adakah Perlembagaan menyatakan bahawa hanya seseorang yang berbangsa, beragama atau berjantina tertentu yang boleh menjadi Perdana Menteri?

Tidak, Perlembagaan tidak menyatakan bahawa hanya seseorang berbangsa, beragama atau berjantina tertentu boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Tetapi, seseorang yang dilantik menjadi Perdana Menteri haruslah seorang warganegara Malaysia melalui kelahiran.

3. Perlembagaan menyatakan bahawa YDPA harus berunding dengan Majlis Raja-raja dalam melantik Hakim-hakim. Ia juga menyatakan bahawa Perdana Menteri harus berunding dengan Ketua Hakim Negara sebelum menasihati YDPA dalam perlantikan Hakim-hakim. Apakah maksud “berunding”?

Perlembagaan tidak menyatakan apa maksud “berunding”. Tetapi, “berunding” tidak bermaksud “mendapat persetujuan”. Dengan kata lain, YDPA tidak perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-raja dan Perdana Menteri tidak perlu mendapat persetujuan Ketua Hakim Negara untuk melantik Hakim-hakim. Namun demikian, “berunding” telah dikatakan termasuklah memberi “pertimbangan sewajarnya” atau “pertimbangan serius” kepada pendapat Majlis Raja-raja dan Ketua Hakim Negara.

4. Parlimen sepatutnya menggubal undang-undang persekutuan. Bolehkah Eksekutif membuat undang-undang juga?

Ya, Eksekutif boleh membuat undang-undang dengan dua cara.

Pertama, apabila Parlimen meluluskan Akta yang memberikan Eksekutif kuasa untuk berbuat demikian. Parlimen telah meluluskan banyak undang-undang yang memberikan kuasa kepada Eksekutif untuk membuat undang-undang. Undang-undang yang dibuat oleh Eksekutif dipanggil “undang-undang kecil atau subsidiari”. Undang-undang seperti ini tidak perlu diluluskan oleh Parlimen sebelum ia menjadi undang-undang.

Di Malaysia, telah menjadi amalan bahawa Parlimen memberi kuasa kepada Eksekutif untuk membuat undang-undang kecil. Contohnya, Eksekutif boleh membuat undang-undang untuk menghukum seseorang dengan denda atau penjara.

Kedua, di dalam darurat, Dewan Negara dan Dewan Rakyat tidak bersidang dan YDPA boleh mengisytiharkan Darurat dan meluluskan undang-undang yang dipanggil Ordinan Darurat.

Oleh kerana YDPA secara amnya harus bertindak mengikut nasihat Kabinet, baginda meluluskan undang-undang Ordinan Darurat mengikut nasihat Kabinet.

Ordinan Darurat tidak boleh dicabar di Mahkamah walaupun ianya tidak konsisten dengan peruntukan lain di dalam Perlembagaan seperti kebebasan asasi.

Tetapi, kuasa darurat tidak boleh digunakan untuk menggubal atau meminda undang-undang Islam, adat Melayu, undang-undang atau adat pribumi Sabah atau Sarawak, agama, kewarganegaraan atau bahasa. Ordinan Darurat harus dipatuhi sehinggalah:

•    ditarik balik oleh YDPA;
•    dibatalkan; atau
•    Pengisytiharan Darurat tidak lagi berkuatkuasa..

Pada masa ini, terdapat dua Pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa di Malaysia. Ini bermakna bahawa di samping Parlimen, YDPA (atas nasihat Kabinet) masih boleh membuat undang-undang darurat.

5. Adakah anda memilih Kerajaan anda?

Warga Malaysia tidak mengundi Perdana Menteri dan Kabinet secara langsung. Kita mengundi ahli Parlimen dan Perdana Menteri dilantik daripada mereka. Perdana Menteri kemudian memilih Kabinet.

Perdana Menteri boleh memilih Kabinetnya daripada ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Jika beliau memilih ahli Dewan Negara, ia bermakna ahli Kabinet tidak dipilih oleh kita.

6. Saya pernah dengar terma “tanggungjawab menteri” dan “tanggungjawab kolektif/bersama”. Apakah maksudnya?

Setiap Menteri Kabinet harus menjawab soalan-soalan di Parlimen tentang urusan kementeriannya. Walaupun Perlembagaan tidak menyatakannya, seseorang Menteri diharapkan akan bertanggungjawab ke atas dasar atau kesilapan yang dilakukan oleh Kementeriannya, walaupun beliau tidak terlibat secara langsung. Ini adalah konseptanggungjawab menteri secara berseorangan.

Perlembagaan menyatakan bahawa Kabinet akan secara bersesama kepada Parlimen. Ahli Kabinet harus menyokong keputusan Kabinet walaupun beliau tidak bersetuju dengan keputusan tersebut secara peribadi. Sekiranya ahli Kabinet tidak boleh menyokong keputusan Kabinet, beliau sewajarnya meletakkan jawatan. Ahli tersebut tidak boleh mengkritik secara terbuka tetapi masih menjadi ahli Kabinet. Ini adalah konseptanggungjawab kolektif/bersama Kabinet. Konsep ini bermakna semua ahli Kabinet harus meletakkan jawatan sekiranya Perdana Menteri tidak lagi menikmati keyakinan ahli Dewan Rakyat.

Sila klik di sini untuk muat turun salinan PDF RG 5 bertemakan “Eksekutif”.

The collective persona of Lord Bobo's minions (yes, all the cheeky monkeys and monkettes). Haven't you heard? LoyarBurokking is a lifestyle. Join us, and your life will never be the same again. Because...

One reply on “#MenghitungHariMalaysia Hari 5: Eksekutif”

Comments are closed.