Wan Hilmi mengajak kita bertanya, ‘Apakah lagi relevan perpaduan Melayu?’
Ada yang berpendapat bahawa bercakap tentang kaum atau bangsa adalah sesuatu yang klise. | Source: Image provided by author.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa bercakap tentang kaum, etnik, bangsa dan yang sewaktu dengannya adalah klise (cliché). Tetapi bagi saya, topik seperti inilah yang paling relevan sekarang – kerana sebahagian rakyat Malaysia sememangnya suka memainkan sentimen perkauman, namun sewaktu dan selepas proses pilihanraya umum yang ke-13 berlangsung, ia semakin menjadi-jadi.
Satu perkara yang menarik perhatian saya adalah seruan yang mengajak orang-orang Melayu bersatu. Ada yang bercakap tentang perpaduan UMNO-PAS, ada juga yang melaung-laungkan,“Melayu sepakat, Islam berdaulat”.
Sebelum pembaca salah faham, saya bukan anti-Melayu. Saya cuma berpendapat politik sempit yang mempromosikan perpaduan di antara orang-orang Melayu sahaja adalah tidak relevan dan tidak sepatutnya diberi tempat di Malaysia!
“Ini ideologi kami, sila hormat pandangan masing-masing. Semua ada hak untuk mengutarakan pandangan.”
Ya, memang betul semua rakyat Malaysia ada hak untuk bercakap, mengeluarkan fikiran dan menubuhkan persatuan, dan ini sudah termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi itu tidak bermaksud orang perlu bersetuju dengan pandangan anda, bukan?
Hak anda untuk mengutarakan pandangan adalah tertakluk kepada hak orang lain untuk memberikan pandangan mereka.
'Melayu sepakat, Islam berdaulat'? | Source: Image provided by author.
“Ala, ajak orang Melayu bersatu je pun salah ke? Bukannya kita hina mana-mana kaum lain.”
Kenapa ‘perpaduan Melayu’ tidak (atau sepatutnya) relevan pada masa sekarang? Dengan rasa rendah diri, bagi saya ia bukan saja salah, malah ia adalah memudaratkan.
Saya mengatakan ia memudaratkan kerana ia mengajak perpaduan di antara satu kumpulan masyarakat sahaja. Jadi, bagaimana pula dengan rakyat Malaysia yang lain? Pinggirkan saja mereka? Jadi kalau Melayu dah bersatu, apa pula seterusnya? Bermegah-megah kerana dapat menunjukkan bahawa orang Melayu merupakan majoriti di Negara ini?
Objektif yang tiada nilai.
Rasanya sudah berulang-ulang kali kita dengar atau baca bahawa negara kita terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama. Saya mengandaikan rata-rata rakyat Malaysia sepatutnya sedar hala tuju Negara kita.
Jadi mengapa kita masih mengejar objektif yang tiada nilainya?
“Ala, racism mana-mana ada. Biasalah tu. Tak payahlah kepo sangat.”
Ya, memang tak dinafikan perkauman ni wujud di mana-mana saja, bukan Malaysia saja menghadapi masalah ini. Tetapi ia tak bermaksud kita tak perlu berusaha untuk menjadi lebih baik, bukan?
Adalah lebih baik sekiranya kita menggantikan laungan ‘perpaduan Melayu’ dengan ‘perpaduan SELURUH RAKYAT MALAYSIA’ kerana kita tidak akan boleh lari daripada realiti bahawa rakyat Malaysia bukan terdiri daripada orang-orang Melayu sahaja.
Saya berharap artikel yang pendek ini dapat mengajak rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi orang Melayu¸untuk bermuhasabah diri. Fikir dalam-dalam dan cerminkan balik – adakah ideologi sempit ‘perpaduan Melayu’ mampu memberi apa-apa manfaat atau kebaikan terhadap tanah air kita yang tercinta ini? Ayuh rakyat Malaysia, mari kita perjuangkan INTEGRATION dan tolak SEGREGATION!
Read this first: LB Terms of Use
4 Responses to Bercakap Tentang Perpaduan Melayu