Tidak lama dahulu, nama Universiti Malaya telah mendapat liputan media sosial berikutan tekanan terhadap Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) Professor Datuk Dr Redzuan Othman untuk meletakkan jawatan beliau daripada Kementerian Pendidikan. Perkhidmatan beliau sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) juga ditamatkan oleh universiti dan digantikan dengan orang baru sedangkan beliau mempunyai sokong kebanyakan para pengajar untuk meneruskan kerjanya dalam jawatan tersebut. Hal ini merupakan insiden terbaru yang mencerminkan kebebasan akademik semakin terhakis di Universiti Malaya. Adakah akan wujud keadaan dimana kebebasan akademik akan terkubur tanpa batu nisan selepas peristiwa ini ?
Kegagalan universiti tempatan untuk mendapat tempat dalam Times Higher Education Asia University Ranking 2014 baru-baru ini menunjukkan betapa seriusnya masalah kualiti pendidikan tinggi di negara ini. Malaysia bukan sahaja jauh ketinggalan dalam bidang pendidikan berbanding dengan jiran kita Singapura malah kini menghadapi masalah untuk mengejar universiti lain di rantau Asia ini khususnya negara China. Gejala ini ditambah dengan kelakuan pihak pentadbir universiti dan pihak kerajaan yang selalu mengekang kebebasan bersuara dalam bidang akademik. Selepas inisiden Ambiga Sreenevasan dihalang untuk memberi ucapan dalam Konvensyen Kerjaya Undang-Undang di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, kita lihat bahawa para akademik juga tidak dikecualikan daripada tekanan politik pihak kerajaan kerana mempunyai pandangan yang berbeza.
Awal tahun ini, saya telah menghadiri sebuah program anjuran Najib Razak Club (NRC) yang merupakan dialog antara para hadirin dengan Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan yang bertajuk “Building A World-Class Tertiary Education” dimana saya mengajukan soalan kepada beliau berkenaan insiden Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya menghalang Ambiga Sreenevasan daripada berucap di Fakulti Undang-Undang dan mendapat jawapan bahawa universiti penyelidikan diberi autonomi tertentu untuk mengendalikan urusannya seperti dalam bidang akademik, kewangan, pentadbiran, dan sumber manusia dan Kementerian Pendidikan tidak akan campur tangan dalam urusan universiti berkaitan bidang tersebut. Kenyataan beliau jelas bercanggah dengan apa yang telah berlaku kepada Prof Datuk Dr Redzuan Othman hari ini.
Kegagalan universiti tempatan terutamanya Universiti Malaya untuk mengekalkan pengajar yang berbakat dan juga keupayaan menarik bakat baru ke universiti tersebut mencerminkan gejala “braindrain” yang juga berlaku pada pelbagai bidang di Malaysia. Buku Tony Pua “The Tiger That Lost Its Roar” memetik kata-kata seorang pensyarah kanan di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya yang mengatakan 10% tenaga pengajar di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Singapore (NUS) adalah warganegara Malaysia. Hakikatnya, universiti negara lain dapat menawarkan peluang yang lebih baik daripada universiti awam di Malaysia dari segi gaji, kenaikan pangkat dan pembiayaan untuk penyelidikan maka tidak hairan lain berlaku penghijrahan pensyarah tempatan ke luar negara. Namun yang pelik adalah universiti swasta tempatan kini mampu menarik pensyarah yang terkemuka dari universiti-universiti awam terbaik negara. Adakah Prof Datuk Rd Redzuan bakal menyertai senarai nama pengajar hebat yang meninggalkan Universiti Malaya untuk mencuba nasib di tempat lain seperti Farish Noor, K.S Jomo, Abu Hassan dan Wang Gungwu?
Dalam sebuah artikel yang diterbitkan di The Malaysian Insider, Zairil Khir Johari MP Bukit Bendera mengatakan antara punca kemerosotan kualiti pendidikan tinggi negara ini adalah kekurangan kebebasan akademik, campur tangan politik dalam kampus dan kualiti fakulti yang rendah. Tekanan politik terhadap Prof Datuk Dr Redzuan Othman membuktikan kebebasan akademik dan campur tangan politik dalam kampus sememangnya merupakan masalah yang menghindari potensi sebenar universiti tempatan. Sampai bila universiti perlu dikongkong oleh kuku besi pihak kerajaan dan dijadikan alat propaganda Barisan Nasional ?
Tengku Razaleigh MP Gua Musang dan bekas Menteri Kewangan Malaysia dalam sebuah artikel di The Malaysian Insider mengatakan sistem pendidikan Malaysia memerlukan perubahan drastik untuk menyelamatkannya, dan kewujudan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 merupakan pengiktirafan pihak kerajaan tentang masalah pendidikan negara dan memainkan peranan sebagai penyelesaiannya. Namun sekiranya pelan tersebut dilaksanakan tanpa “political will” hasilnya tetap sama seperti sistem pendidikan pada hari ini. Adakah masih sempat untuk kita menyelamatkan pendidikan tinggi di Malaysia? Ataupun kita bakal lihat Pelan Pembangunan Pendidikan tersebut menerima nasib yang sama dengan projek-projek “gajah putih” Barisan Nasional yang lain dan berkubur tanpa batu nisan akhirnya.
Read this first: LB Terms of Use
13 Responses to Matinya Kebebasan Akademik di Universiti Malaya