Mungkin sudah sekian lama tidak menulis, sehingga tidak tahu dari mana untuk bermula. Mungkin juga seperti orang ramai yang sudah bosan dan jelak dengan isu politik negara, di mana tiada sebarang perubahan ekonomi yang kelihatan sejak Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13), baik dari pihak Kerajaan BN ataupun pembangkang negara.

Tetapi apa yang menghairankan dan tidak dapat difahami adalah protes #Bersih4 yang bakal akan diadakan pada 29 hingga 30 Ogos ini. Banyak persoalan telah dibangkitkan dan ramai yang telah menulis, menyatakan pendapat tentang protes ini.

Di antara yang paling kerap didengar adalah, Bersih, yang merupakan sebuah NGO, telah pun menjadi partisan dan menjejak dalam agenda politik dengan menyeru Perdana Menteri Najib Razak meletak jawatan. Saya agak keliru dengan persoalan ini. Sekiranya anda melayari laman Bersih, sudah pasti anda boleh baca bahawa tuntutan Bersih sehingga kini adalah menuntut Perdana Menteri Najib Razak untuk bercuti buat sementara waktu. Kenapa bercuti? Kerana tindakan-tindakan yang diambil beliau yang menghancurkan siasatan penyelewengan #1MDB dan wang sebanyak RM2,600,000,000 yang dimasukkan ke akaun peribadinya. Apakah yang beliau sudah buat? Inilah turutan tindakan untuk anda yang mudah lupa:

  1. Mendakwa laporan Wall Street Journal atas pendedahan RM2,600,000,000 memasuki akaun peribadi beliau adalah palsu.
  2. Kemudian, mendakwa dokumen-dokumen yang didedahkan itu telah dikendalikan i.e. tampered.
  3. Menggantung lesen penerbitan akhbar perniagaan The Edge yang juga melaporkan penyelewengan #1MDB.
  4. Memecat Attorney General dan Timbalan Perdana Menteri tanpa alasan munasabah.
  5. Melantik Pengerusi Public Account Committee (PAC) dan beberapa ahli PAC yang sedang menyiasat penyelewengan #1MDB menjadi Menteri Kabinet.
  6. Menyatakan wang RM2,600,000,000 itu sebenarnya telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau selaku Trustee UMNO.
  7. Siasatan penyelewengan #1MDB dihentikan.
  8. Menyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang menjalankan siasatan terhadap RM2,600,000,000 yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau.
  9. Memindahkan direktor-direktor SPRM ke Jabatan Perdana Menteri.
  10. Dan yang terbaru, Perdana Menteri Najib Razak sendiri mengumumkan bahawa beliau didapati tidak bersalah dan korup.

Jadi selepas semua yang diatas, tidak juga menerangkan kenapa Bersih beransur politik kan? Salah! Kerana sejak dari mula lagi, tuntutan-tuntutan reformasi Bersih memang sudah berunsurkan politik. Tuntutan-tuntutan asal Bersih adalah menuntut pilihanraya yang bersih dan adil seperti membersihkan daftar pengundi, hentikan politik kotor/ganas, mengukuh dan mengasingkan bidang kuasa institusi-institusi negara, menjamin hak kebebasan media dan maklumat, dan menghapuskan rasuah. Tuntutan-tuntutan ini tidak bertukar dan dengan #Bersih4, ia sekarang hanyalah lebih spesifik dan terperinci dan semua ini adalah untuk mengukuhkan sistem pilihanraya dan pengasingan kuasa dan ketelusan institusi-instituti negara yang berlainan.

Perlulah anda fahami bahawa tuntutan-tuntutan ini sememangnya berunsurkan politik dan ia bertujuan untuk anda melaksanakan hak anda sebagai seorang pengundi Rakyat Malaysia. Menuntut sebuah kerajaan yang bersih dan telus adalah untuk memperbaiki dan menguatkan sistem tadbir urus, dari segi pentadbiran dan sememangnya politik.

Perlu juga anda fahami bahawa dakwaan-dakwaan wang berjumlah RM2,600,000,000 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak telah digunakan untuk kempen PRU13. Sekiranya benar wang ini digunakan untuk PRU13, ia merupakan unsur-unsur politik wang yang tidak patut berlaku dan perlu dihapuskan. Sehingga kini, beliau langsung tidak menjawab sebarang soalan seperti dari mana wang ini datang, kenapa ia perlu dimasukkan ke akaun peribadi beliau dan dimanakah wang ini digunakan. Tidakkah anda rasa perlunya beliau untuk menjawab soalan-soalan yang penting ini? Ini pun belum lagi soalan kewangan seperti Anti-Money Laundering.

Sehingga kini, ramai yang saya bertemu agak marah atas tindakan-tindakan yang telah diambil oleh Perdana Menteri Najib Razak. Namun apabila ditanyakan adakah anda akan menyertai protes, jawapannya tidak. Kenapa? “Tiada masa, saya tak suka politik, bukan hal saya pun…” Ini sungguh menghairankan. Sungguh pun protes ini tidak akan mendatangkan perubahan serta-merta, ia merupakan salah satu cara untuk menyampaikan mesej yang kuat kepada setiap pemimpin atas tuntutan-tuntutan Rakyat.

Sekiranya anda tidak mengambil kisah, apakah yang anda kisah sebenarnya? Ekonomi? Kehidupan seharian? Gaji dan kerja? Saya berpendapat bahawa setiap tindakan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri Najib Razak kini telah menjejaskan ekonomi dan mata wang ringgit yang kemudian menjejaskan kehidupan seharian, gaji, kerja dan lain-lain. Disebabkan penyelewangan #1MDB, pelbagai tindakan telah diambil oleh Kerajaan BN untuk menutup “lubang-lubang” yang digali, seperti implementasi GST dan bailout-bailout dengan harga yang tinggi oleh Government Linked Companies (GLC) atau institusi kerajaan seperti EPF dan KWAP. Selagi soalan-soalan ini tidak dijawab dan isu-isu ini tidak diselesaikan, penyelewengan sebegini akan bakal menyebabkan Malaysia dilabelkan sebagai sebuah negara tidak telus di mata pelabur asing.

Ingat, beliau belum menjawab isu hutang RM42,000,000,000 #1MDB lagi, dimana ia perlu meminjam wang dari seorang hartawan Malaysia untuk menjelaskan sebahagian hutang. Kerajaan BN beliau juga telah beberapa kali memutar jawapan mengenai wang pelaburan 1MDB yang awalnya di Cayman Island, dan kemudiannya wang tunai yang disimpan di Singapura; tetapi kemudian dijelaskan sebagai aset dan kemudian dalam bentuk unit. Sehingga hari ini, masih tidak terjawab pelbagai isu-isu #1MDB dan kini siasatan telah diberhentikan.

Ada juga yang menyatakan bahawa Bersih adalah bias, hipokrit dan tidak mencengkam pihak pembangkang negara sepertimana yang berlaku pada pilihanraya kecil Kajang. Setahu saya, Bersih ada mengeluarkan kenyataan media dan tidak bersetuju dengan apa yang berlaku pada pilihanraya kecil Kajang. Bersih menyatakan tindakan itu telah mengkhianati hak-hak pengundi Kajang. Berkemungkinan juga kenyataan media Bersih tidak mendapat liputan luas media arus perdana seperti yang dikehendaki; dan ini tidak mengejutkan kerana perhatian pada masa itu bukanlah pada Bersih. Tetapi saya ingin bertanya, adakah anda berpendapat bahawa Bersih perlu protes untuk isu seperti pilihanraya kecil Kajang?

Perlu anda fahami juga, sehingga kini, pelbagai masalah dan rungutan juga dibawa kepada pihak pembangkang negara yang mentadbir negeri Selangor; cuma pendekatannya berbeza dan tidak sehingga protes. Saya sebagai Rakyat Selangor juga turut berasa kecewa atas pilihanraya kecil Kajang yang membazirkan wang dan masa. Semua ini berlaku juga kerana sistem pilihanraya yang sedia ada dan kejadian ini mengecewakan; tetapi ia tidak memberhentikan malah mendorong saya untuk lebih bergiat memperjuangkan sistem pilihanraya yang bersih dan telus. Saya berasa agak tidak betul sekiranya perjuangan anda diberhentikan setakat isu pilihanraya kecil Kajang. Jangan berhenti, dekati ADUN dan Wakil Rakyat anda dan nyatakan permintaan anda sebagai seorang pengundi yang bertanggungjawab.

Tidak ada benda yang sempurna di dunia ini dan fahamilah juga bahawa isu pilihanraya kecil Kajang sedikit berbeza dan tindakan Bersih hanya boleh ditambah baik dengan pendapat-pendapat yang bernas. Saya tidak mewakili Bersih untuk bercakap tetapi saya berasa sekiranya anda murka, anda boleh menyatakan pendapat-pendapat anda pada jawatankuasa Bersih yang sedia mendengar. Sesungguhnya, isu penyelewengan #1MDB ini jauh lebih penting dan akan memberi kesan dan impak yang besar pada ekonomi negara; jadi agak menghampakan sekiranya isu pilihanraya Kajang lah yang memberhentikan perjuangan anda.

Saya berpendapat bahawa Bersih merupakan satu platform dimana ia memberikan dan menyediakan ruang dan maklumat untuk Rakyat Malaysia terus memperjuangkan agenda reformasi sistem pilihanraya yang meliputi isu pentadbiran dan politik. Sekiranya anda tidak bersetuju dengan cara menyuarakan ketidakpuashatian seperti protes, anda boleh menggunakan cara-cara lain untuk mendapatkan jawapan. Namun, tidak dapat difikirkan adanya cara lain selepas sekatan-sekatan yang telah dilakukan. Jadi sekiranya anda berasa ini pun menghairankan ataupun anda tidak mengambil kisah dengan apa yang berlaku dan bagaimana ia akan memberi kesan sampingan pada kehidupan seharian anda pada masa hadapan, tidak apalah kerana memang hak-hak anda untuk tidak menyertai dan mengambil tindakan.

Tapi ingat, janganlah anda merungut dan mengeluh kemudian apabila ekonomi dan mata wang negara terjejas yang seterusnya menjejaskan kehidupan seharian anda; kerana anda membuat pilihan untuk berdiam dan tidak membuat apa-apa apabila adanya peluang untuk bersuara. Anda boleh teruskan menghadiri Festival Belia Putrajaya ataupun menonton Akademi Fantasia, dan bersyukur Malaysia masih aman.

PS: Protes tidak sesekali pun akan menumbangkan Kerajaan BN ini dan menggantikan Perdana Menteri Najib Razak. Yang boleh menggantikan beliau hanyalah ahli parti UMNO mereka sendiri, dan mereka ini yang mempunyai kepentingan-kepentingan masing-masing. Dan inilah sistem yang anda berada dalam, selaginya tiada perubahan dan reformasi pada struktur demokrasi kita.

Adrian is a confused accountant who has a heart of a Care Bear, lived in the Smurf Village, while defending the Universe like a Thunder Cat. He has deep interest and passion in civil society and has...

3 replies on “#Bersih4: Hairan, Keliru, dan Tidak Faham”

  1. Bersih hanya mengecam tindakan ADUN Kajang meletak jawatan tetapi tak ada sebarang ulasan daripada mereka mengenai manipulasi pilihanraya oleh PKR untuk menjatuhkan bekas MB yang dipilih secara demokrasi…

    kecaman mereka hanya kepada keputusan ADUN itu meletakkan jawatan saja… ini tidak selari dengan pendirian bersih yang mahukan pilihanraya yang adil, bebas dan berdemokrasi dan tidak dimanipulasi…

    tak ada langsung komen mereka mengenai itu… dan disebabkan itu saya kata BERSIH adalah KOTOR…

Comments are closed.