Disambung dari sini. Bahagian II menjelaskan keadaan di mana Kerajaan dapat melucutkan kewarganegaraan seseorang.

Perkara-perkara berkenaan dengan penamatan kewarganegaraan terkandung di dalam Bab 2, Bahagian III Perlembagaan Persekutuan. Perkara 23 membolehkan seseorang warganegara Malaysia melepaskan kewarganegaraannya secara sukarela.

Perkara 23(1) memperuntukkan bahawa:

Mana-mana warganegara yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih dan yang sempurna akal yang juga ialah seorang warganegara negara lain atau yang hampir menjadi seorang warganegara negara lain boleh melepaskan kewarganegaraannya bagi Persekutuan melalui akuan yang didaftarkan oleh Kerajaan Persekutuan, dan hendaklah sesudah itu terhenti menjadi warganegara.

Perkara 24 Perlembagaan Persekutuan pula memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk melucutkan kewarganegaraan seseorang itu kerana memperolehi atau menggunakan kewarganegaraan asing.

Perkara 24(1) menyatakan:

Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan) maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

Perkara 24(2) pula menyatakan:

Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah menuntut dan menggunakan dengan sukarela di mana-mana negara di luar Persekutuan apa-apa hak yang terdapat untuknya di bawah undang-undang negara itu, iaitu hak-hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara negara itu maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

Seorang rakyat Malaysia tidak dibenarkan mempunyai dwi-kewarganegaraan dan Perkara 24 membolehkan Kerajaan melucutkan kewarganegaraan mereka yang didapati mempunyai kewarganegaraan asing.

Bagaimana pula mereka yang kononnya menderhaka, tidak taat kepada negara, membuat tuntutan keterlaluan dan pelbagai sebab lain seperti yang digesa oleh pihak-pihak yang disebut dalam Bahagian I artikel ini? Adakah kewarganegaraan mereka boleh dilucutkan?

Perkara 25(1)(a) menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan sesiapa yang menjadi warganegara melalui pendaftaran atau penaturalisasian jika berpuas hati bahawa orang itu telah menunjukkan dirinya melalui perbuatan atau percakapan sebagai tidak taat atau tidak setia kepada Persekutuan.

Akan tetapi, Perkara 25(1)(a) hanya boleh beroperasi ke atas mereka yang memperolehi kewarganegaraan melalui pendaftaran atau penaturalisasian dan bukannya mereka yang memperolehi kewarganegaraan mereka melalui kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1).

Ini bermakna, bagi sebahagian besar rakyat Malaysia yang seperti dinyatakan di atas menjadi warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang, Kerajaan tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk melucutkan kewarganegaraan mereka kecuali di bawah Perkara 24(1) dan (2) iaitu berkenaan dengan kewarganegaraan asing.

Maka, Kerajaan tidak boleh melucutkan kewarganegaraan mereka yang lahir di Malaysia dan mempunyai ibu atau bapa yang merupakan warganegara Malaysia atau mana-mana kategori yang lain yang terkandung di dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua di atas alasan bahawa mereka tidak taat, tidak setia, derhaka, membuat tuntutan berlebihan, tidak sehaluan dengan parti pemerintah dan mereka yang menyokongnya, atau apa-apa alasan lain yang mungkin diberikan.

Seseorang rakyat Malaysia dijamin kewarganegaraannya oleh Perlembagaan, bukannya mengikut rasa hati golongan tertentu.

Apa yang begitu ironis adalah golongan etno-nasionalis ini amat gemar membangkitkan Perkara 3 (agama Islam sebagai agama rasmi) dan Perkara 153 serta memberi amaran kepada orang lain supaya tidak mempersoalkannya, tetapi pada masa yang sama mereka sendiri telah mempersoalkan dan membelakangi apa yang telah jelas termaktub di dalam Perlembagaan.

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya...

2 replies on “Kewarganegaraan: Antara retorik dan realiti Perlembagaan (Bahagian II)”

Comments are closed.